Gencatan senjata Thailand-Kemboja hasil kepintaran Anwar dan Malaysia pemudah cara adil – Prof Azmi Hasan

KUALA LUMPUR – Kejayaan gencatan senjata antara dua negara bergolak Thailand dan Kemboja membuktikan kepintaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Azmi Hasan berkata, Malaysia adalah pengemudi ataupun sebab utama mengapa kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.

“Malaysia adalah pengemudi ataupun sebab utama mengapa kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja bersetuju.

“Pertama Malaysia ada pengaruh yang paling kuat, memandangkan kita adalah Pengerusi Asean dan Pengerusi Asean kalau nak bandingkan sebelum-sebelum ini mereka tak nak campur hal ini.

“Tapi hari ini Malaysia dari hari pertama campur tangan menggesa kedua-dua Perdana Menteri itu berbincang, berkomunikasi dan ini berjaya pada hari ketiga sedangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari keempat baru beliau masuk campur dalam hal ini selepas kedua-dua Perdana Menteri bersengketa itu bersetuju.

“Pengaruh kedua adalah kita telah dibuktikan Malaysia boleh jadi pemudah cara yang adil – apa yang berlaku pembentukan wilayah bangsa Moro di Selatan Filipina, di Acheh, dan sekarang ini menjadi pemudah cara antara barisan revolusi nasional selatan Thailand pejuang Islam dengan Bangkok.

“Jadi ini dikatakan bahawa tidak ada kesangsian kedua-dua Perdana Menteri itu mahu datang ke Kuala Lumpur dan berbincang dalam hal ini kerana Malaysia,” katanya kepada SuaraTV.

Selain itu, tidak dapat dinafikan pengaruh ketiga adalah kepintaran Anwar dengan menjemput kedua-dua kuasa besar iaitu AS dan China dalam rundingan damai itu.

“Memang betul co-sponsor perbincangan gencatan senjata adalah AS tapi pengerusinya ialah Malaysia. Malaysia menjemput juga China dan juga AS duduk semeja kerana kita tahu bahawa kedua negara kuasa besar ini mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap Thailand dan juga Kemboja.

“Jadi kita jemput mereka, kita gunakanlah kuasa besar ini untuk kepentingan Asean menyelesaikan masalah di Asean.

“Inilah beberapa pengaruh yang membuatkan kedua-dua Perdana Menteri bersetuju walaupun 24 jam itu adalah satu permulaan yang baik,” ujar Azmi.

Semalam, Anwar memaklumkan dua negara sahabat Asean, Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata bermula tengah malam tadi.

Kata Perdana Menteri, Malaysia selaku Pengerusi Asean menerima amanah besar bersama rakan-rakan lain untuk memantau pelaksanaan dan pematuhan gencatan senjata ini, atas permintaan kedua-dua pihak.

“Pendekatan damai ini mencerminkan semangat Piagam Asean berlandaskan hormat-menghormati, penyelesaian secara rundingan, dan penolakan keganasan demi kemanusiaan.

“Kita mesti teguh mempertahankan perpaduan Asean agar rantau ini kekal sebagai antara wilayah paling aman, stabil dan makmur di dunia. Keamanan adalah asas kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serantau.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja atas penyelesaian diplomatik ini, serta kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping atas peranan menyokong usaha damai ini,” katanya.

Menurut beliau, Asean terus membuktikan kepimpinan berwibawa di pentas antarabangsa berpaksikan dialog, diplomasi dan nilai kemanusiaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat