Setiausaha Politik Anwar tuntut Fadhli mohon maaf terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja.

Tegas Kamil, Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal mereka yang tidak ada secebis rasa hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran, dan pastinya kita juga tidak bersetuju sekiranya negara tercinta ini dihambur kenyataan biadab yang serupa.

“Tatkala dunia mengiktiraf peranan Malaysia khususnya Perdana Menteri sebagai peneraju dan arkitek keamanan serantau apabila dua negara jiran kita, Thailand dan Kemboja, akhirnya bersetuju menggerakkan gencatan senjata.

“Namun, masih ada segelintir yang memilih untuk memperlekeh dan mempertikai usaha murni ini.

“Ironinya, yang memperlekeh bukan orang luar. Tetapi pembangkang di tanah air sendiri yang nampaknya lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan yang membanggakan negara.

“Saya ingin tegaskan bahawa usaha ini bukan soal parti atau politik individu. Ini soal maruah negara. Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini. Dunia menyambut baik usaha ini dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, sehinggalah ke seluruh komuniti ASEAN tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis,” bidas Kamil.

Ketua Pemuda PKR itu malah mengkritik, “mereka lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik seumpama dan sebesar ini berjaya digerakkan untuk dicapai”.

Kini katanya, apabila Malaysia di bawah Kerajaan Madani berdiri megah menegak serta melakar diplomasi di persada antarabangsa dan memain peranan aktif menyelesaikan pertelagahan, pembangkang memilih untuk menyemai kebencian dan dendam kesumat.

“Beginilah politik sempit yang kita tolak. Kita tidak boleh benarkan suara-suara sumbang ini terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara. Tindakan mereka jelas tidak patriotik dan memalukan negara,” seru Kamil.

Terdahulu Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas dikecam hebat di media sosial selepas memuat naik hantaran berkenaan dengan penyelesaian konflik negara bergolak Thailand dan Kemboja.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang, monyet sebagai hakim.

Menurut hantaran dimuat naik di laman sosial Fadhli, beliau menulis kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang

Beliau turut meletakkan artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan.

Hal demikian kata Kamil, tuntutan Islam yang sepatutnya meraikan pendamaian, disanggah dengan kebencian politik yang membuak. Ini jauh menyimpang dari ajaran dan tuntutan Islam.

” Malaysia akan terus melangkah. Kita akan terus menjulang nama Malaysia dengan diplomasi, bukan dengan retorik kosong.

“Kita percaya pada penyelesaian yang berasaskan kemanusiaan, bukan kebencian,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat