Had Jawatan PM Tak Lebih 10 Tahun – PH

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menuntut tiga lagi perkara untuk dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Tuntutan utama PH ialah mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun.

Majlis Presiden PH juga meminta kerajaan untuk membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen; dan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar.

“Pada masa yang sama, Perkara 4 iaitu kebebasan institusi Kehakiman perlu terlaksana sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Majlis Presiden PH juga mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dua hari lalu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani.

“Ini bermakna MoU yang dimeterai pada 13 September 2021 akan terus berkuatkuasa selagi mana Parlimen ke-14 belum dibubarkan, sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 2.1 MoU.

“Oleh itu, Majlis Presiden PH mengarahkan wakil-wakil Pakatan Harapan di dalam Jawatankuasa Pemandu MoU agar mengadakan mesyuarat pada kadar segera bersama wakil-wakil kerajaan bagi membincangkan beberapa Perkara di dalam MoU yang masih berbaki.

“Di samping meneliti perkara-perkara yang dinyatakan Perdana Menteri termasuk berkait pendanaan politik,” ujar PH lagi.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH amat gembira dan berbangga bahawa Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diluluskan dengan sokongan 209 Ahli Dewan Rakyat semalam.

“Jumlah ini bersamaan dengan sokongan sebanyak 95 peratus, berbanding 5 peratus atau 11 Ahli Dewan Rakyat yang tidak hadir.

“Pindaan Perlembagaan yang sangat bersejarah ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia.

“Ia merupakan salah satu tiang seri kepada Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan PH,” jelasnya.

Justeru, PH percaya dengan lulusnya pindaan Perlembagaan semalam, maka keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi itu sendiri akan mulai pulih.

“Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperbetul keadaan politik dan demokrasi dalam negara, serta menjamin episod khianat seperti Langkah Sheraton tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” katanya.