Kenal Pasti Punca Masalah Kesihatan Mental, Kita Lawan Bersama – Annuar

- Advertisement -

CYBERJAYA – Punca kewujudan masalah kesihatan mental yang menimpa segelintir individu di negara ini perlu dikenal pasti dan dilawan bersama untuk mengatasinya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau mengajak semua pihak untuk melihat isu kesihatan mental itu sebagai agenda bersama untuk diperjuangkan.

“Sudah tiba masanya pelbagai pihak meletakkan isu kesihatan mental sebagai aspek utama untuk diperjuangkan bersama.

“Hati saya luluh bila mengetahui bahawa walaupun isu kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira umur, jantina, latar belakang atau bangsa, golongan yang paling berisiko adalah golongan muda yang merupakan masa depan tanah air kita.

“Depresi dan masalah yang disebabkannya perlu dikenalpasti kerana ianya merupakan suatu penyakit sama seperti penyakit-penyakit lain dan musuh yang perlu kita lawan bersama sebelum ia mengancam negara tercinta,” katanya, dipetik dari catatan di Facebook beliau, hari ini.

Annuar turut memaklumkan Kementerian Wilayah Persekutuan yang diketuainya juga akan menggerakkan usaha dalam memastikan individu yang berdepan masalah kesihatan mental mendapat akses dan dibantu sewajarnya.

Beliau turut mengakui secara peribadi pada mulanya mempunyai tahap kesedaran yang rendah terhadap isu kesihatan mental sehinggalah kementeriannya memulakan program Hijrah Warrior bagi membantu golongan gelandangan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

Hasil program dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta diskusi dengan pakar itu, beliau akhirnya menyedari betapa besar impak negatif isu kesihatan mental bukan sahaja kepada individu malah kepada keluarga mereka.

“Selangkah ke hadapan lebih baik daripada berdiri tegak. KWP merangkumi pelbagai bidang dan sektor. Sudah tiba masanya kita letakkan isu kesihatan mental sebagai satu aspek yang utama untuk kita perjuangkan bersama,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pandemik Covid-19 telah menimbulkan kesan besar terhadap kesihatan mental individu di dunia termasuk Malaysia susulan peningkatan jumlah kes bunuh diri.

Menurut Dr Noor Hisham, sepanjang tahun 2020 terdapat 631 kes bunuh diri dilaporkan berbanding 609 kes pada 2019, manakala sehingga bulan Mac tahun ini sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan kepada polis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,574FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat