Operasi Patuh SOP Besar-Besaran Bermula 1 Julai Ini – Hamzah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU – Penguatkuasaan Operasi Patuh secara besar-besaran akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Julai, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, perkara itu akan dikoordinasi bersama semua agensi di 21 kementerian di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara dipatuhi.

“Jadi bagi mereka yang dibenarkan beroperasi sudah semestinya tahu apa yang saya umumkan ini, jadi bersiap sedia jika sebarang pelanggaran SOP dikenal pasti, kami akan tangkap dan kompaun maksimum akan dikenakan,” katanya pada sidang media selepas operasi pematuhan SOP di sekitar Terengganu, di sini.

Beliau berkata, bagi tujuan itu pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diarah membuat ‘snapcheck’ di kawasan tertentu dan PDRM melaksanakan sekatan jalan raya termasuk menggunakan aset sedia ada seperti helikopter dan dron, dan ia akan dilakukan serentak dalam usaha menurunkan kes COVID-19 di seluruh negara.

KDN juga akan meminta senarai sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta membuat perbandingan dengan Kementerian Kesihatan berhubung senarai kilang-kilang yang didapati mempunyai kes positif COVID-19.

“Ia juga akan dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, untuk mengenal pasti sama ada kilang yang beroperasi terbabit betul atau sebaliknya didaftarkan dalam sesuatu sektor disenaraikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain Hamzah berkata, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhubung penglibatan nelayan asing yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di negara ini.

“Perbincangan bersama LKIM adalah untuk kita mengesan berapa ramai nelayan asing yang menangkap hasil laut negara ini, supaya kegiatan mereka ini dikekang.

“Selain itu, saya juga meminta komuniti maritim tempatan agar menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ kepada kerajaan, berhubung pencerobohan nelayan asing di perairan negara ini,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Zubil Mat Som. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,560FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat