KUALA LUMPUR – Sebaran berita palsu kononnya 11 Ahli Parlimen menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah kacau ganggu dan langkah sumbang yang hanya akan memangsakan rakyat.
Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan menegaskan tindakan menangguk di air keruh susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada anggota Jemaah Menteri ini sebagai amalan politik lapuk yang tidak beradab.
“Dalam negara kita nak jatuhkan kerajaan bukan dengan cara begini. Gunakanlah amalan politik matang, berintegriti, beradab dan berakhlak melalui jalan demokrasi pilihan raya, bukan cara tarik sokongan yang akan membuatkan rakyat merana.
“Jangan ulangi lagi Langkah Sheraton yang sumbang, nak lawan guna jalan demokrasi.
“Tindakan tidak matang seumpama ini hanya akan merencatkan sokongan pelabur,” kata Sany kepada SuaraTV pada Khamis.
Sany yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah menegaskan, sebaran berita palsu seumpama ini telah mencetuskan ganggu gugat kepada perpaduan rakyat.
“Saya anggap pihak sengaja sebar berita palsu ini cuba ganggu gugat kerja baik yang dilakukan Perdana Menteri.
“Mereka tohmah sebab tidak ada isu lain nak hentam Anwar.
“Kalau nak kritik isu harga barang naik, itu lumrah kerana tidak pernah pula berlaku dalam mana-mana pentadbiran harga barang turun,” katanya.
Mengulas berkait peletakan jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sany berkata ia dibuat berdasarkan prinsip dengan mengotakan janji selepas kalah pemilihan parti.
“Apa yang Rafizi dan Nik Nazmi buat bersandar prinsip, kotakan janji mereka.
“Berat kepada orang lain (letak jawatan) tetapi mereka laksanakan janji.
“Mereka hanya umum letak jawatan tapi sama ada pengunduran mereka diterima Perdana Menteri masih belum diputuskan,” kata Sany lagi.
Semalam, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang menafikan dakwaan yang tular bahawa beliau bersama 10 lagi ahli Parlimen PKR telah menarik sokongan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia susulan pengumuman Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletak jawatan, semalam.
Dalam hantaran di Facebook, Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut.
“Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan Kabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi.
“Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah,” katanya dalam hantaran tersebut.