KUALA LUMPUR – Berbaki kira-kira dua minggu sebelum meninggalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengakui kekal dengan komitmen beliau untuk memastikan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dikembalikan kepada rakyat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata ia terbukti dengan keputusan terkini dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan perintah larangan transaksi membabitkan wang AS$1.7 juta (kira-kira RM6.7 juta) yang disimpan dalam dua akaun perbankan di Barbados yang dikaitkan dengan dana 1MDB.
Sehubungan itu beliau memberi jaminan bahawa SPRM akan terus melaksanakan tindakan pemulihan dana dan aset yang diseleweng memandangkan ia adalah hak rakyat.
“Tindakan ini (perintah mahkamah) mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan setiap dana yang diseleweng dapat dijejaki dan dikembalikan kepada negara.
“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara.
“Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan,” katanya memetik BH di Putrajaya pada Rabu.
Beliau menegaskan SPRM akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan segala saluran perundangan yang ada bagi memastikan aset yang disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan dan dilucut hak.
Mengulas lanjut, Azam menegaskan SPRM akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan segala saluran perundangan yang ada bagi memastikan aset yang disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan dan dilucut hak.
Semalam, SPRM menyatakan pihaknya memperoleh perintah larangan transaksi membabitkan wang kira-kira AS$1.7 juta (kira-kira RM6.7 juta) yang dipercayai membabitkan dana diseleweng daripada 1MDB.
SPRM melalui kenyataan memaklumkan perintah larangan transaksi itu membabitkan wang berkenaan yang disimpan dalam dua akaun perbankan di Amcorp Bank and Trust Limited di Barbados.
Perintah larangan dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini selepas berpuas hati dengan permohonan pihak pendakwaan yang menunjukkan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Permohonan dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Kata SPRM, wang terbabit susulan siasatan dijalankan Bahagian Operasi Khas pihaknya yang mendapati dalam tempoh antara 2014 hingga 2019, beberapa individu yang juga pemegang akaun bank serta pengarah kepada beberapa syarikat yang ditubuhkan di luar negara disyaki terbabit dalam aktiviti menerima, menyembunyikan, memindah dan mengubah wang hasil daripada aktiviti haram melalui akaun-akaun bank syarikat berkenaan di Barbados.
Azam akan mengakhiri tempoh perkhidmatannya di SPRM pada 12 Mei ini, selepas mengabdikan khidmat tiga dekad berkhidmat. Dalam lima tahun kebelakangan ini, beliau meraih pelbagai kejayaan dalam pemulihan aset, khususnya berkaitan RM2.3 bilion dana 1MDB yang diseleweng.
Pada 13 Mei ini, beliau akan diganti oleh bekas hakim, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.



