BN bukan tebuk atap, krisis institusi adat punca hilang kepercayaan kepada MB, kerajaan masih boleh kekal – Jalaluddin Alias

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) menegaskan tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan bertujuan melakukan “tebuk atap” atau merampas kuasa, sebaliknya dibuat selepas krisis melibatkan institusi adat negeri disifatkan gagal ditangani dengan baik.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jika BN benar-benar berniat menjatuhkan kerajaan negeri, tindakan itu boleh dilakukan lebih awal dan bukannya selepas kerajaan beroperasi selama 27 bulan.

“Kalau kita nak tebuk atap, kita dah buat dari awal lagi. Kenapa tunggu sampai 27 bulan? Ini bukan soal hendak ambil alih kerajaan,” katanya ketika berucap pada program Nogori Beradat, Kito Sepakat di Ampangan, pada Ahad.

Menurut beliau, UMNO mempunyai prinsip yang jelas bahawa isu berkaitan Melayu, Islam dan institusi adat tidak boleh dipandang ringan atau dikompromi.

Katanya, tindakan menarik sokongan terhadap Aminuddin dibuat selepas kerajaan negeri gagal menguruskan krisis membabitkan institusi adat sehingga menjejaskan hubungan dengan Undang Yang Empat.

“UMNO ada prinsip. Soal Melayu, Islam dan adat jangan disentuh. Bila Menteri Besar gagal mengurus krisis institusi adat dengan baik, itu sudah melepasi garis yang kami boleh terima,” katanya.

Jalaluddin yang ketika itu merupakan EXCO kanan kerajaan negeri berkata, beliau sendiri mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar berhubung krisis tersebut, termasuk mengapa anggota pentadbiran negeri tidak dimaklumkan mengenainya.

“Saya sebagai EXCO kanan bertanya kepada Menteri Besar, kenapa perkara ini berlaku? Kenapa saya tidak diberitahu? Sampai ke tahap itu kita tidak lagi boleh bersabar,” katanya.

Beliau berkata, keputusan BN menarik diri daripada pentadbiran negeri bukan bertujuan melumpuhkan kerajaan kerana kerajaan negeri ketika itu masih boleh berfungsi seperti biasa.

Menurutnya, ketika pimpinan tertinggi parti di Kuala Lumpur mencari jalan penyelesaian, beliau sendiri mencadangkan supaya Pakatan Harapan mengekalkan kerajaan negeri tetapi menggantikan Menteri Besar.

“Saya cadangkan tukar Menteri Besar daripada PH juga. Saya tidak pernah minta jadi Menteri Besar,” katanya.

Jelas beliau, cadangan itu dibuat kerana seorang Menteri Besar yang tidak lagi mendapat sokongan daripada Undang Yang Empat akan berdepan kesukaran menjalankan pentadbiran negeri memandangkan banyak urusan rasmi kerajaan memerlukan persetujuan institusi berkenaan.

Beliau berkata, pertukaran Menteri Besar dilihat sebagai jalan terbaik untuk memulihkan hubungan dengan institusi adat tanpa menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak menjadi kenyataan apabila Pakatan Harapan mengambil keputusan membubarkan DUN Negeri Sembilan selepas pembubaran DUN Johor, sekali gus menyerahkan semula mandat kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat