KUALA LUMPUR,- Pemuda UMNO akan menuntut keadilan seorang peniaga belon yang diperlakukan secara kasar oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tunku Abdul Rahman malam tadi.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan peniaga itu dilayan seperti binatang. Beliau menggesa sesiapa yang mengenali peniaga berkenaan untuk tampil agar Pemuda UMNO dapat membantu mendapatkan pembelaan undang-undang.
“Kami tidak akan berdiam diri. Peguam Pemuda UMNO akan menuntut keadilan untuk ‘Abang Belon’. Kami mahu pihak DBKL memberi penjelasan terhadap tindakan ini,” katanya di media sosial.
Dr. Akmal juga meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa, untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penguat kuasa terbabit.
Insiden ini mencetuskan kemarahan orang ramai, yang menyuarakan simpati dan sokongan kepada peniaga kecil yang mencari rezeki secara halal.