KAJANG, – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan penipuan dalam talian yang melibatkan individu menyamar sebagai pegawai AADK untuk memeras ugut keluarga klien yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan.
Modus operandi sindiket ini adalah dengan menghubungi keluarga klien melalui panggilan telefon dan e-mel,meminta bayaran tertentu bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan terhadap klien. Setakat ini, dua kes (2) telah dikesan, namun tiada mangsa dilaporkan kerana keluarga klien segera merujuk perkara ini kepada Pusat Gerakan Hotline (PGH) AADK.
Sehubungan itu, AADK menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan segera menghubungi pegawai AADK sebelum mengambil sebarang tindakan. Antara langkah yang disarankan ialah:
✅ Tidak membuat pemindahan wang kepada individu atau akaun mencurigakan.
✅ Segera membuat laporan polis jika menerima panggilan meragukan.
✅ Melaporkan kepada AADK di pejabat berhampiran atau menghubungi talian bebas tol 1-800-22-2235 atau WhatsApp 019-626 2233.
AADK komited untuk memastikan keselamatan klien serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa sindiket penipuan ini. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan taktik yang menyalahgunakan nama AADK untuk kepentingan peribadi.