Kuala Lumpur – Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap insiden seorang penjaja belon yang dikasari oleh pihak penguatkuasa, seperti yang tular di media sosial.
Beliau menegaskan bahawa tindakan sebegitu tidak wajar, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia.
Menurut beliau, ramai peniaga kecil mengambil peluang untuk mencari rezeki menjelang musim perayaan, terutama dalam keadaan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Oleh itu, beliau menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar lebih prihatin dan mencari jalan untuk memudahkan peniaga kecil, bukannya menyusahkan mereka.
“Lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan bagi membolehkan mereka berniaga di tempat-tempat tertentu untuk tempoh terhad. Semasa pentadbiran Perikatan Nasional, inisiatif Wilayah Bebas Berniaga telah diperkenalkan bagi membantu penjaja kecil meneruskan perniagaan ketika pandemik Covid-19.
Konsep yang sama boleh digunakan bagi meringankan beban rakyat yang kini berdepan kenaikan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Muhyiddin, keprihatinan kerajaan adalah kunci dalam menangani isu ini. Beliau berharap insiden sebegini tidak berulang dan pihak berkuasa mengambil pendekatan lebih berhemah dalam menangani penjaja kecil yang hanya berusaha mencari rezeki halal.