Muhyiddin puji Pas miliki banyak kerusi tapi tak berlagak ‘abang besar’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bersatu memuji sekutunya Pas yang tidak bersikap ‘abang besar’ walaupun memiliki kerusi terbanyak dalam Perikatan Nasional (PN) bahkan pernah memberi laluan kepada pemimpin lain menjadi ketua pembangkang dan pengerusi gabungan.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata disebabkan sikap itu pihaknya selesa bekerjasama kerana Pas sentiasa mengambil pendekatan berunding jika ada isu berbangkit termasuk pendirian terbaru parti itu berkaitan ‘poster boy’ PN.

“Prinsipnya perkara itu (poster boy) akan dibincang dalam Majlis Tertinggi PN…asalkan dia (tokoh itu) diterima baik dan apa pandangan masyarakat terhadap tokoh yang nak diketengahkan,” lapor FMT pada Khamis.

Muhyiddin mengulas gesaan Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin supaya rundingan berhubung jawatan pengerusi PN perlu diadakan selepas menyatakan parti itu lebih layak menerajui PN.

Pada 22 Nov lalu, Hashim menegaskan pemilihan ketua PN yang sekali gus diangkat calon perdana menteri komponen itu perlu dirunding untuk menilai semua aspek.

Beliau merujuk kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau yang mempertahankan Muhyiddin sebagai pengerusi PN dan ‘poster boy’ komponen itu menuju PRU16.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Hashim, Pas lebih layak memimpin PN kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen dan mempunyai jentera akar umbi kuat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pihaknya menghormati pandangan dikemukakan pimpinan Pas bagaimanapun ia perlu dibawa ke meja rundingan.

Ketika ditanya mengapa PAS pernah memberi laluan kepadanya menerajui PN, Muhyiddin berkata mungkin ia disebabkan pengalaman dimilikinya.

“Mungkin (sebab pengalaman). Ada pertimbangan, senioriti saya. Jadi saya terima baik, saya tak kata saya mesti diterima baik, saya (tak kata) nak jadi itu ini, sifat saya lebih terbuka…terserah mereka.

“Ke depan kita tunggu apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PN,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat