Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerima 35 buah kenderaan baharu pelbagai jenis termasuk van, kereta, lori dan motorsikal bernilai RM5 juta.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr.Hj. Mohd Zahari Ismail berkata, tujuan perolehan tersebut dibuat untuk menggantikan sebahagian kenderaan sedia ada yang telah melebihi usia penggunaan 15 tahun dan mencapai jumlah perbatuan yang tinggi.
Majlis Penyerahan dan ‘Flag-Off’ kenderaan baharu itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir di Ruang Legar KPT, dekat sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir.
Mohd Zahari berkata, kelulusan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi makna yang besar kepada JPPKK dalam terus menyediakan perkhidmatan yang efisyen serta memastikan keselamatan serta keselesaan staf dan pelajar di POLYCC.
“Sebanyak 27 buah kenderaan baharu akan diserahkan kepada 6 buah politeknik dan 19 buah kolej komuniti iaitu 8 buah kenderaan bagi Zon Tengah (Selangor dan Perak); 6 buah kenderaan bagi Zon Utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang).
“Selain itu, 5 buah kenderaan bagi Zon Timur (Kelantan, Pahang dan Terengganu); dan 6 buah kenderaan lagi bagi Zon Selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka).
“Manakala bagi Zon Sabah dan Sarawak pula, serahan kenderaan baharu tersebut telah dilaksanakan ke institusi pada 18 Oktober lalu,”katanya dalam kenyataan di sini.
“JPPKK mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian dan kerajaan di atas kelulusan yang diberikan pada tahun ini.
“Saya berharap pihak kementerian terus memberikan sokongan terhadap keperluan penggantian kenderaan di POLYCC bagi tahun berikutnya,”katanya lagi. – SUARA.TV