‘Jangan pandang remeh kerja penerbitan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ibaratnya membina rumah, tapak kukuh dapat memastikan rumah yang dibina teguh dan tahan lama.

Begitu juga soal pengurusan produksi sama ada dunia perfileman mahupun medium televisyen (TV), ia pastinya bermula dengan asas yang betul.

Demikian rumusan pengarah filem, Dr Mahadi J Murat ketika mengupas topik berkaitan kepentingan dan mendepani cabaran pengurusan produksi filem dan TV menerusi program Sepetang Bersama KMN (Khir Mohd Noor) anjuran Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dipancarkan secara langsung di Facebook pada Sabtu lalu. Turut serta, wakil PROFIMA, Qarlam Salim.

Mahadi menekankan, tapak dimaksudkan merujuk kepada golongan penerbit yang seharusnya memiliki ilmu dan pengetahuan sebelum mengendalikan syarikat produksi.

“Mereka yang mengendalikan kerja pengurusan, tidak kira produksi filem dan TV adalah golongan penerbit.

“Penerbit kena ada ilmu dalam dunia penerbitan. Saya melihat ada penerbit tidak faham dan tahu tanggungjawab mereka dengan tepat.

“Ibaratnya, sesiapa sahaja boleh melakukan kerja penerbitan jika memiliki sesebuah syarikat. Sedangkan golongan penerbit juga satu profesion,” katanya.

Mahadi berkata, memiliki syarikat produksi bukan tiket untuk seseorang mampu memikul tugasan sebagai penerbit.

“Hakikatnya, ada memandang perkara ini terlalu remeh dan ringan. Sedangkan mereka yang mengendalikan kerja pengurusan dan perlu ada skil kerja.

“Malah, saya melihat ada pemilik syarikat terjun ke bidang penerbitan tanpa ilmu dan skil,” katanya.

Katanya, penerbit harus tahu skop kerja di lapangan.

“Kena ada skil dalam mengendalikan kerja penerbitan. Golongan penerbit bertanggungjawab kepada semua sektor, elemen, aspek dan bidang di bawah produksi.

“Ini termasuklah soal pemasaran, bajet dan bersikap kompetitif. Pendek kata, golongan penerbit perlu berada di barisan hadapan.

“Fokus kerja biar jelas. Penggiat seni termasuk kru ada bidang tugasannya. Malah, terma prosedur operasi standard (SOP) yang ditekankan ramai tidak memahami pada era pandemik ini.

“SOP wajib dilaksanakan. Jadi, penggiat seni termasuk penerbit kena peka dan titik beratkan SOP dalam usaha berdepan dengan cabaran COVID-19.

“Jika perlu kena lihat ada penambahbaikkan untuk kebaikan bersama,” katanya.

 

Program Sepetang Bersama KMN (Khir Mohd Noor) anjuran Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) mengupas topik berkaitan kepentingan dan mendepani cabaran pengurusan produksi filem serta TV. - Foto Facebook Khir Mohd Noor
Program Sepetang Bersama KMN (Khir Mohd Noor) anjuran Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) mengupas topik berkaitan kepentingan dan mendepani cabaran pengurusan produksi filem serta TV. – Foto Facebook Khir Mohd Noor

 

Katanya, pemain industri seni termasuk penerbit bukan sekadar mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata.

“Sebaliknya, golongan penerbit kena pandai mengurus dan merancang. Semua kena tahu skop kerja dan SOP.

“Industri seni selalu wujud skop kerja bercampur baur. Seseorang buat pelbagai kerja, sepatutnya lebih fokus.

“Tetapi, kita faham syarikat produksi tempatan ada berskala kecil dan besar. Ada yang bekerja dengan tenaga kerja ramai dan sebaliknya,” katanya.

“Namun, katanya, pada akhirnya biarlah urus takbir dan aliran kerja membabitkan pengurusan dan lapangan perlu diperbaiki.

“Kita dengar segala rentetan kepayahan, tetapi cuba buktikan kemampuan diri dengan melaksanakan sesuatu yang bagus,” katanya.

Mahadi mendedahkan, wujud ‘trend’ penerbit daripada cabang kerja berbeza termasuk tauke dunia kosmetik dan syarikat korporat.

“Dalam soal ini, bukan soal tidak pandai atau sebaliknya. Tetapi, apabila masuk bidang seni nak jadi penerbit, tidak bolehlah berlenggang sahaja. Jika tidak pandai, boleh belajar.

“Nak jadi atau pikul sesebuah tanggungjawab kena ada ilmu. Saya fikir perlu ada bengkel berterusan untuk penerbit. Mungkin boleh diberi cadangan ini kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya.

Dalam pada itu, Mahadi turut menjawab pertanyaan pengikut Facebook mengenai tempoh bekerja antara 10 hingga 12 jam sehari yang tidak boleh diguna pakai secara mutlak.

“Ia terserah kepada cara produksi mengurus tadbir atau menyelia komponen di bawahnya. Pekerja seni bukan buruh am yang ada skop kerja tetap dan tertakluk tuntutan kerja penggambaran.

“Jadi, saya kurang bersetuju soal tetapan tempoh bekerja untuk penggiat seni kerana ia seperti tidak menghargai peranan sebagai penyumbang karya,” katanya.

Jelasnya, isu tempoh bekerja juga perlukan kesepakatan antara syarikat produksi, kru dan pelakon.

“Soal bajet ada kontigensi, begitu juga tempoh bekerja. Mungkin pada hari ini sudah bekerja lebih masa, jadi hari berikutnya boleh dipendekkan tempoh,” katanya.

Mahadi berpendapat, sudah tiba masanya stesen RTM dan FINAS bergabung mewujudkan saluran pawagam ‘virtual’ seperti dilakukan Astro First.

“Tumpuan kandungan tayangan pawagam virtual ini perlu merangkumi filem cereka, drama TV dan dokumentari,” katanya.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat