Kerajaan Madani tak pinggir pembangunan negeri pembangkang, peruntukan disalur ikut keperluan – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan pembangunan mana-mana negeri termasuk yang ditadbir oleh pembangkang bahkan menambah peruntukan berdasarkan keperluan masing-masing.

Anwar memberitahu, walaupun terdapat beberapa projek diberi keutamaan seperti yang dilaksanakan di bawah Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) namun tidak bermakna pembangunan di beberapa negeri lain dipinggirkan.

“Misalnya di Sabah, kalau kita lihat tahun 2022 hingga 2025, untuk perbelanjaan pembangunan itu peningkatan agak mendadak, daripada RM5.2 bilion naik RM6.7 bilion, Sarawak daripada RM4.7 bilion kepada RM5.9 bilion, Terengganu dari RM1.4 bilion naik ke RM1.8 bilion, Kelantan RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion, Kedah dari RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion dan Perlis dari RM0.4 bilion kepada RM0.6 bilion.

“Ini sengaja saya tunjukkan bahawa di bawah Kerajaan Madani bukan dipinggirkan malah ditambah berdasarkan keperluan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Anwar berkata, peruntukan pembangunan di Sabah dan Sarawak memerlukan belanja besar kerana Lebuhraya Pan Borneo kosnya RM15.9 bilion manakala Sabah-Sarawak Link Road pula menelan hampir RM10 bilion.

Selain itu kata beliau, pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian Selangor pula kos keseluruhannya sebanyak RM74.96 bilion.

Tambahnya, peruntukan itu tidak termasuk pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang yang kosnya RM6.38 bilion.

“Jawapan ini perlu kerana ia menolak sebahagian tanggapan bahawa ada peminggiran seperti ditohmah selama ini, apabila diberi angka-angka ini tidak dihadapi tetapi naratif lama diteruskan.

“Saya sebut berulang kali tentang RTB (Rancangan Tebatan Banjir) untuk keseluruhan negara (kosnya) RM25.08 bilion dan tertumpu banyaknya di Kelantan, Pahang dan Terengganu yang menelan kos RM8.08 bilion. Ini bukan soal pilih (kasih), ini soal keperluan (mengikut negeri masing-masing),” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, melalui pinjaman Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebanyak RM1 bilion disalurkan kepada Kedah dan Kelantan termasuk Skim Pemindahan Air Jeniang di Kedah dengan kos RM922 juta.

Katanya, untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Hub Logistik Sidam sebanyak RM700 juta, RM723 juta untuk kemudahan infrastruktur pembangunan Lembah Chuping di Perlis dan RM300 juta bagi menaiktaraf Empangan Timah Tasoh.

“Angka-angka ini ada di dalam buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13, kita akan pastikan jumlah-jumlah disebut dengan jumlah keseluruhannya tentulah jauh lebih besar,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat