Umno terima RM16 juta derma daripada subsidiari SRC, belanja bersifat CSR – peguam Umno

KUALA LUMPUR – Umno menegaskan dana berjumlah RM16 juta yang diterimanya daripada subsidiari syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd adalah sebagai derma dan sumbangan.

Peguam Umno Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berhujah, parti itu adalah penerima dengan niat baik dan dana berkenaan dibelanjakan serta digunakan Umno dalam aktiviti serta program yang bersifat tanggungjawab sosial korporat (CSR), lapor BH pada Isnin.

Shahrul Fazli berkata, ia adalah sejajar dengan matlamat CSR SRC dan anak syarikatnya, iaitu Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).

Menghujahkan lanjut, Mohamed Shahrul Fazli berkata, tuntutan SRCterhadap Umno berdasarkan dakwaan bekas Pengarahnya, Nik Faisal Ariff Kamil, melakukan pelanggaran kewajipan dengan membenarkan dan mengatur serta menyebabkan pembayaran wang itu kepada Umno secara penipuan atau dengan tidak wajar.

Menurut peguam itu, plaintif menuntut bahawa pembayaran berkenaan adalah daripada subsidiarinya iaitu Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) bagi pihak IPSB, bukan untuk tujuan CSR.

Beliau berkata, dalam membuat tuntutan sedemikian, plaintif menyatakan Umno telah secara tidak jujur dan dengan pengetahuan, menerima pembayaran itu daripada JPSB yang mana ia dapat dikesan sebagai hasil pelanggaran kewajipan atau kepercayaan oleh bekas pengarah plaintif.

Katanya, plaintif juga mendakwa, Umno pasti telah mendapat manfaat secara tidak wajar atas kerugian yang dialami olehnya melalui penerimaan RM16 juta itu, dan adalah tidak adil untuk Umno mengekalkan manfaat berkenaan.

“Sebaliknya, Umno berhujah bahawa tuntutan plaintif telah melebihi had masa. Punca tindakan (saman oleh SRC dan dua anak syarikatnya) timbul ketika Umno menerima RM16 juta daripada JPSB dan plaintif gagal membuktikan sebaliknya.

“Tiada bukti dikemukakan bahawa plaintif hanya mengetahui bahawa jumlah RM16 juta itu telah disalurkan akibat pelanggaran kewajipan atau kepercayaan oleh bekas pengarah mereka sekitar tahun 2019 bagi melanjutkan tempoh had masa terbabit.

“Plaintif juga gagal membuktikan pelanggaran kewajipan atau kepercayaan oleh bekas pengarahnya dalam penyaluran wang itu. Oleh itu, elemen pertama bagi tuntutan ‘mengetahui mengenai penerimaan’ tidak dapat dibuktikan.

“Pada peringkat awal lagi, kami menghujahkan plaintif telah gagal membuktikan tuntutan mereka terhadap Umno berdasarkan imbangan kebarangkalian, oleh itu, tuntutan ini wajar ditolak sepenuhnya dengan kos,” katanya lapor akhbar itu.

Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata demikian pada prosiding kes saman SRC dan dua anak syarikatnya, iaitu JPSB dan Gandingan Mentari Sdn Bhd yang difailkan secara berasingan terhadap Umno dan Umno Selangor pada Mei 2021.

Dalam saman terhadap Umno, plaintif menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu dan mendakwa Umno tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

Saman kedua pula membabitkan tuntutan RM3.5 juta terhadap Umno Selangor yang didakwa diterima secara salah.

Sementara itu, peguam SRC dan dua subsidiarinya, Razlan Hadri Zulkifli berhujah, tiada sebarang dokumen pada ketika itu daripada JPSB atau SRC yang menjelaskan mengenai pemindahan wang berkenaan.

Beliau berkata, tiada sebarang alasan langsung bagi plaintif untuk memindahkan, menderma atau menghadiahkan wang kepada Umno, dan begitu juga bagi pihak Umno untuk menerimanya, di mana parti langsung tidak mempunyai sebarang hubungan atau pengetahuan mengenai plaintif pada asalnya.

“Umno terus-menerus menegaskan bahawa wang diterima sebagai sumbangan politik. Ini tidak dapat diterima sama sekali kerana Umno langsung tidak mengesahkan atau menyatakan akaun bagi jumlah RM16 juta yang diterima itu pada bila-bila masa.

“Umno hanya menganggap wang itu sebagai sumbangan politik. Sehingga kini, tiada sebarang rekod ditunjukkan berkenaan tujuan pemindahan RM16 juta kepada Umno atau sebab mengapa cek JPSB berada di tangan Datuk Seri Najib Razak (pemegang saham tunggal serta penasihat emeritus SRC) pada masa berkaitan,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung Rabu ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat