KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa mantera ‘Turun Anwar’ akan terus berkumandang sehinggalah Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar jatuh.
Khir juga malah mendakwa Anwar dilihat bersendirian dalam menghadapi gelombang suara rakyat ini.
“Selepas kejayaan rakyat,berhimpun sebegitu ramai dengan berani dan yakin melaungkan ‘Turun Anwar’ ,saya yakin rakyat tidak akan berhenti di situ sahaja.
“Turun Anwar akan jadi mantera rakyat,di mana mana sahaja ada perhimpunan awam mantera ini akan berkumandang sehinggalah PMX benar benar jatuh.
“Menentang semangat rakyat adalah seperti menentang tsunami,yang akhirnya rakyat akan menang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kata bekas pemimpin Umno itu lagi, sejarah telah membuktikan tidak ada parti atau individu yang boleh menang bila menentang semangat rakyat ini.
“Tun Dr Mahathir Mohamad sangat teliti dalam menyusun gerakan suara rakyat ini,gelombang ini tidak akan berhenti dengan perhimpunan 26 julai lalu,
“Gelombang suara rakyat ini akan semakin besar dan suka atau tidak PMX tidak akan mampu menahannya.
“Sekarang ini kita sudah lihat Anwar bersendirian dalam menghadapi gelombang suara rakyat ini,keadaan ini pasti akan memarahkan lagi Perdana Menteri dan berapa lama Anwar mampu bertahan? Sama- sama kita kira waktunya.
“Rakyat akan terus bangun dan akan lebih berani menyahut seruan turun Anwar,gelombang suara rakyat turun Anwar akan terus membara,marilah kita bersama,bersatu untuk membesarkan lagi gelombang suara rakyat turun Anwar sehinggalah hasrat dan cita cita kita tercapai,” seru beliau.
Tambah Khir, turun Anwar,turun Anwar itu frasa yang boleh selamatkan negara.



