Kuala Lumpur: Pelakon, Sophia Albarakbah, 29, menolak spekulasi mengenai kemesraannya dengan rakan gandingannya dalam drama Cinta Hilang Kata, Shahz Jaszle.
Sophia berkata, dia memang rapat dengan Shahz, namun dalam masa sama turut rapat dengan isteri pelakon itu, Nur Hanis Husna.
“Saya mula mengenali Shahz Mac lalu ketika sama-sama terbabit dalam satu drama. Apa yang boleh saya katakan, Shahz seorang yang sangat peramah. Jadi, kita mudah mesra dan menjadi rapat tetapi tidaklah sampai tahap yang keterlaluan,” katanya.
Sophia berkata, mereka juga tidak pernah keluar berdua sebaliknya akan keluar bersama keluarga Shahz.
“Isteri Shahz memang selalu menemaninya ketika di lokasi penggambaran dan dia memang faham dengan sikap peramah Shahz.
“Kalau keluar pun, sama ada kami keluar bertiga atau kadang-kadang kami keluar berlima bersama dengan anak-anaknya,” katanya.
Sementara itu, Sophia juga turut mengulas mengenai tindakan pelakon, Sharnaaz Ahmad yang meninggalkan komen ‘pick-up line’ ketika Sophia bersiaran langsung di Instagram, baru-baru ini.
“Saya anggap itu sebagai satu gurauan saja. Saya tidak mengenalinya secara peribadi, tetapi saya tahu kami bernaung di bawah satu pengurusan yang sama,” katanya.
Terbaharu, filem Jerangkung Dalam Almari lakonan Sophia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 Ogos ini.
Filem seram itu turut membariskan barisan pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud, Amerul Effendi dan Isaac Iman.
Harian Metro