Adi tak tolak jika Syamsul arah sekuel Mat Kilau

- Advertisement -

PETALING JAYA: Bintang utama filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra masih belum menerima tawaran berlakon dalam sekuel filem epik mega itu seperti diumumkan penerbit, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim, 41, dia perlu mempertimbangkan dan mengkaji daripada banyak sudut sebelum memberikan kata persetujuan jika tawaran diberikan.

“Kenyataan filem bakal disambung sudah dikeluarkan, tetapi saya belum dihubungi pihak penerbit. Jika ditawarkan, saya kena tahu bagaimana naskhah dan apakah Syamsul Yusof masih menjadi pengarah?

“Jika bukan Syamsul, siapa pengarah yang bakal menggantikannya? Maklumat ini perlu kerana saya sudah serasi bekerja dengan Syamsul sejak zaman filem KL Gangster lagi.

“Kalau pengarah lain, mungkin saya akan mempertimbangkan. Namun, jika Syamsul, saya akan terus terima,” katanya kepada BH Online.

Selain faktor pengarah, katanya, persetujuan juga bergantung kepada tahap kesihatan dan kemampuannya untuk melakonkan babak aksi.

“Kena lihat dari segi faktor usia. Walaupun cadangan membuat sambungan filem, tahun ini tetapi mungkin penggambarannya tahun depan.

“Kita tidak tahu bagaimana keadaan kesihatan pada masa itu. Walaupun dibayar RM1 juta, tetapi jika tak mampu dari segi kesihatan, susah juga.

“Untuk berlakon filem aksi, perlu daya ketahanan fizikal kuat. Faktor kesihatan diambil kira kerana tubuh saya nak pakai lama,” ujar Adi ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jerangkung Dalam Almari, di Kota Damansara, semalam.

 

Adi bersama penerbit, Raja Azmi dan barisan pelakon filem Jerangkung Dalam Almari ketika majlis tayangan perdana di Kota Damansara, semalam. - NSTP/Aziah Azmee
Adi bersama penerbit, Raja Azmi dan barisan pelakon filem Jerangkung Dalam Almari ketika majlis tayangan perdana di Kota Damansara, semalam. – NSTP/Aziah Azmee

 

Mengulas sejarah dilakar filem Mat Kilau apabila jualan tiket meraih kutipan RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei, Adi meluahkan rasa syukur.

“Saya rasa semua orang tengah sujud syukur sebab julung kali dalam sejarah mencecah kutipan RM90 juta. Saya yakin jumlah akan bertambah.

“Saya mendoakan semoga filem Mat Kilau mampu mencecah kutipan RM100 juta. Filem ini belum ditayangkan lagi di Indonesia dan perbincangan dengan Netflix untuk ditayangkan di platform itu sudah dijalankan.

“Jika dihitung, termasuk semua ini saya yakin filem Mat Kilau ada harapan mencecah kutipan RM100 juta,” katanya.

Sejak ditayangkan 23 Jun lalu, filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd diterajui Adi yang menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau ini terus menjadi pilihan ramai.

Malah, jadual tontonan di setiap pawagam masih penuh.

Selain Adi, filem Mat Kilau turut dibintangi Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Tidak ketinggalan, Datuk Rahim Razali, Nam Ron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat