Hazama tak sanggup nyanyi lagu duet dengan arwah Siti Sarah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andai diberi pilihan, Hazama enggan mendendangkan single duet, Terakhir Buat Teman yang dirakamkan bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dalam mana-mana acara.

Hazama mengaku karya itu meninggalkan banyak kenangan sedih kerana selain Allahyarham Siti Sarah, insan kreatif lain di sebalik rakaman single berkenaan juga sudah pergi menghadap Ilahi.

Mereka adalah pencipta melodi, Allahyarham Lok U atau nama sebenar, Faizal Uzir dan Allahyarham Aji. Tidak ketinggalan, penulis lirik, Allahyarham Rudy Imran Shamsudin atau nama pena, Iman Imran.

Hazama mengaku bulu romanya meremang setiap kali membicarakan soal single Terakhir Buat Teman.

“Namun, sebagai penyanyi dan yang masih hidup, saya tetap bertanggungjawab ke atas lagu itu. Kalau ada permintaan sama ada untuk menyanyi secara solo atau berduet, saya sedia.

“Kalau hendak menyanyi saja-saja, saya cuba menolak dengan baik. Jika ada persembahan atau konsert, lagu itu saya ketepikan daripada senarai dendangan.

“Seingat saya, kali terakhir menyanyikan lagu itu bersama arwah Siti Sarah ketika mempromosikannya dalam program Malaysia Hari Ini (MHI),” katanya pada sidang media sempena pelancaran lagu Makuta dendangannya bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo di ibu negara, baru-baru ini.

 

Hazama, Luca Sickta dan Kmy Kmo ketika majlis pelancaran lagu Makuta, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Hazama, Luca Sickta dan Kmy Kmo ketika majlis pelancaran lagu Makuta, baru-baru ini. – NSTP/Aziah Azmee

 

Hazama atau nama penuh, Hazama Ahmad Azmi berkata, sebelum single Terakhir Buat Teman dilancarkan, dua tahun lalu, timbul pelbagai perkara dan konflik.

“Lagu ini terlalu berat. Ada bahagian lirik di mana saya dan arwah Siti Sarah mohon diubah agar lebih lembut dan berlapik.

“Saya masih ingat, arwah Rudy berkeras dengan karyanya. Sebagai penyanyi, saya hormati arwah Rudy. Arwah beritahu apa yang tertulis, tidak boleh diubah,” katanya sambil menambah judul asal lagu berkenaan adalah Nota Terakhir yang diubah kepada Terakhir Buat Teman.

Hazama mengaku rasa bersalah apabila mengenang kembali gurauannya dengan arwah Sarah ketika proses rakaman single berkenaan.

“Banyak momen dan situasi yang membuatkan saya rasa bersalah. Kami ada kalanya bergurau benda di mana mungkin ketika itu dilihat biasa. Apatah lagi, ketika itu, arwah Siti Sarah sedang hamil anak keempat,” katanya yang menyedari dirinya mempunyai pertalian darah dengan arwah Siti Sarah.

 

Hazama, Luca Sickta dan Kmy Kmo bersatu dalam lagu Makuta selepas menolak kolaborasi menerusi lagu Neraca yang disifatkan tidak kena konsep.
Hazama, Luca Sickta dan Kmy Kmo bersatu dalam lagu Makuta selepas menolak kolaborasi menerusi lagu Neraca yang disifatkan tidak kena konsep.

 

Mengenai single Makuta yang bermaksud Mahkota dalam istilah Sunda, Hazama berkata, dendangan itu berkisar kisah propaganda, ketidakadilan dan korupsi yang berlaku pada dunia pekerjaan dan kehidupan harian.

“Jika diikutkan, lagu Neraca yang dinyanyikan Luca dan Kmy bersama Datuk Jamal Abdillah menjadi kerjasama sulung kami.

“Namun, selepas dipertimbangkan, konsep dan eleman lagu itu bersifat nusantara yang tidak kena dengan saya.

“Saya anggap rezeki lagu itu adalah kepada Jamal. Namun, akhirnya, ‘jodoh’ kami dapat disatukan dalam lagu Makuta,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat