Tragedi aplikasi media sosial di Kota Kinabalu bukti ONSA bukan pilihan, tetapi keperluan

Jumaat lalu, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap seorang lelaki warga Timor Leste selepas dia mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sembilan bulan yang dikenalinya melalui aplikasi TikTok.

Fakta kes ini mengejutkan dan wajar mencetuskan persoalan besar tentang tahap keselamatan anak-anak kita dalam berhadapan dengan cabaran media sosial dan dunia digital yang semakin terbuka.

Mangsa dilaporkan berkenalan dengan tertuduh kira-kira sebulan melalui aplikasi tersebut sebelum keluar dari rumah dan mengikut lelaki itu ke sebuah bilik sewa di Inanam, tempat kejadian rogol berlaku.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman. Undang-undang telah dilaksanakan. Namun persoalan yang lebih besar masih tergantung: mengapa sistem membenarkan hubungan seperti ini berlaku tanpa sebarang benteng awal yang berkesan?

Kes ini memperlihatkan bagaimana ruang digital boleh menjadi laluan mudah kepada pemangsa untuk mendekati kanak-kanak tanpa kawalan fizikal dan tanpa sempadan geografi. Seorang remaja berusia 15 tahun mungkin merasakan dirinya matang, namun dari sudut undang-undang dan psikologi perkembangan, mereka masih dalam kategori kanak-kanak yang memerlukan perlindungan khas.

Seksyen 376 Kanun Keseksaan jelas bahawa individu bawah umur tidak mempunyai kapasiti untuk memberikan persetujuan yang sah dalam hubungan seksual. Prinsip undang-undang ini tegas dan tidak boleh dipertikaikan.

Dalam dunia media sosial, satu “follow”, satu mesej peribadi dan beberapa minggu interaksi sudah cukup untuk membina kepercayaan palsu. Tanpa pengesahan umur yang benar-benar ketat serta mekanisme pengesanan interaksi berisiko, platform digital boleh menjadi ruang yang memudahkan eksploitasi.

Di sinilah pentingnya Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act – ONSA). Undang-undang ini bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara atau mengawal wacana awam, sebaliknya memastikan penyedia platform digital memikul tanggungjawab terhadap keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak dan remaja.

Jika syarikat teknologi mampu membina algoritma yang memaksimumkan tontonan dan keuntungan, maka mereka juga mesti diwajibkan membina sistem yang meminimumkan risiko eksploitasi.

Cadangan melarang individu bawah 16 tahun membuka akaun media sosial bermula 2026 perlu dilihat dalam kerangka perlindungan ini. Had umur bukan sekadar simbolik; ia adalah garis perlindungan minimum. Dalam kes di Kota Kinabalu ini, mangsa masih belum mencapai usia 16 tahun. Jurang beberapa bulan itu sudah cukup untuk menjadikannya mangsa jenayah berat.

Namun undang-undang semata-mata tidak mencukupi jika tidak disokong oleh penguatkuasaan yang tegas serta teknologi verifikasi umur yang berkesan. Tanpa mekanisme yang benar-benar mampu menghalang akses bebas kanak-kanak kepada interaksi dengan orang dewasa tidak dikenali, dasar hanya akan tinggal sebagai kenyataan politik.

Pada masa yang sama, ibu bapa dan masyarakat tidak boleh berlepas tangan. Media sosial bukan sekadar ruang hiburan, tetapi ruang interaksi terbuka yang membolehkan orang dewasa tidak dikenali berhubung secara langsung dengan anak-anak. Literasi digital dan pengawasan keluarga mesti berjalan seiring dengan penguatkuasaan undang-undang.

Kes Kota Kinabalu ini sepatutnya menjadi titik perubahan. Kita boleh terus menghukum selepas tragedi berlaku, atau kita boleh membina sistem yang mencegah sebelum ia berlaku. ONSA bukan pilihan kosmetik untuk meredakan kebimbangan awam. Ia adalah keperluan struktur dalam dunia digital yang semakin kompleks.

Keselamatan kanak-kanak tidak boleh diserahkan kepada algoritma. Jika kita benar-benar serius melindungi generasi muda, maka tindakan mesti lebih pantas daripada ancaman.

Keputusan Kerajaan melaksanakan ONSA adalah cerminan kearifan pentadbiran madani dalam menangani dunia baharu yang serba mencabar ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat