Selepas mencetus fenomena pada tahun 2023, kolaborasi antara Fipper dan ikon esports negara, Soloz, kembali dengan koleksi kedua yang lebih eksklusif dan lebih beridentiti. Jika pelancaran pertama dahulu membuktikan kuasa jenama dan pengaruh komuniti apabila habis terjual dalam tempoh satu hingga dua minggu, edisi 2026 pula hadir dengan momentum yang lebih kukuh dan sokongan pasaran yang masih hangat.
Kejayaan koleksi pertama bukan sekadar mencatat jualan memberangsangkan, malah meninggalkan permintaan berterusan daripada peminat yang tidak sempat mendapatkan pasangan mereka. Permintaan itulah yang menjadi pemangkin kepada perbincangan semula antara kedua-dua pihak sehingga lahirnya Koleksi Ke-2 Fipper X Soloz tahun ini.
Lebih menarik, koleksi kali ini tampil dengan pendekatan yang lebih peribadi. Sekitar 70 peratus keputusan reka bentuk dan pemilihan warna adalah daripada Soloz sendiri, berbanding pendekatan 50-50 dalam kolaborasi terdahulu. Ini menjadikan koleksi 2026 lebih dekat dengan personaliti dan cita rasa beliau sebagai figura esports yang sinonim dengan keyakinan, tenaga dan semangat kompetitif.

Dari segi kuantiti, edisi kali ini benar-benar menekankan elemen eksklusiviti. Untuk siri Slip-On, sebanyak lebih kurang 10,000 pasang dikeluarkan, manakala siri Refit pula hanya sekitar 6,000 pasang sahaja. Jumlah yang terhad ini mengukuhkan lagi statusnya sebagai edisi khas dan tidak akan dicetak semula walaupun menerima sambutan luar biasa. Malah, salah satu warna Slip-On iaitu kombinasi pink dan ungu telah pun habis terjual secara dalam talian, membuktikan permintaan yang tinggi sejak hari pertama pelancaran.
Koleksi ini memperkenalkan dua gaya utama yang disesuaikan dengan gaya hidup berbeza. Siri Slip-On direka untuk mereka yang gemarkan pemakaian mudah, ringan dan praktikal untuk kegunaan harian. Ia tampil dalam tiga pilihan warna berani yang diinspirasikan daripada dunia gaming, menyerlahkan elemen kontras dan tenaga digital. Setiap pembelian Slip-On turut didatangkan dengan kotak khas, sticker dan kad penghargaan sebagai nilai tambah kepada pelanggan.
Sementara itu, siri Refit menawarkan siluet yang lebih berstruktur dan kemas, sesuai untuk mereka yang mahukan gaya lebih matang dan versatil. Dengan tali yang lebih tebal serta kemasan yang lebih solid, Refit memberikan keseimbangan antara keselesaan dan penampilan refined. Ia juga didatangkan bersama sticker dan kad penghargaan eksklusif.
Walaupun material asas masih dikekalkan bagi memastikan keselesaan yang sama seperti koleksi terdahulu, terdapat penambahbaikan pada bahagian charm di sisi sandal. Jika sebelum ini menggunakan emblem, kini ia digantikan dengan rekaan baharu yang lebih tahan dan kukuh, menjadikan produk lebih sturdy dan tahan lama.

Dari sudut sasaran pasaran, kolaborasi ini tidak hanya tertumpu kepada golongan gamer dan Gen-Z semata-mata. Melalui pengenalan siri Refit, Fipper turut menyasarkan golongan berusia 30 tahun ke atas yang mahukan pilihan lebih sopan dan sesuai untuk pelbagai kegunaan, termasuk aktiviti harian dan ke masjid. Pendekatan ini membuktikan bahawa kolaborasi ini bersifat inklusif dan merangkumi pelbagai lapisan umur.
Menurut Fatin Fadila, General Manager Fipper Malaysia, koleksi kedua ini bukan sekadar kesinambungan kejayaan terdahulu, tetapi satu simbol perkembangan dan keyakinan yang lebih jelas. Beliau menegaskan bahawa keputusan untuk tidak membuat sebarang cetakan semula adalah sebahagian daripada perjanjian bersama Soloz bagi mengekalkan nilai eksklusif koleksi ini. Walaupun sambutan sangat menggalakkan, prinsip edisi terhad tetap dikekalkan.
Tambah beliau lagi, Fipper sentiasa berusaha untuk memahami demografi pelanggan yang pelbagai. Sebab itu koleksi kali ini direka untuk merangkumi golongan muda dan juga mereka yang lebih dewasa, agar jenama ini terus relevan merentas generasi.
Dengan sambutan awal yang memberangsangkan dan elemen eksklusiviti yang dikekalkan, Fipper X Soloz 2026 bukan sekadar kolaborasi fesyen. Ia adalah simbol sinergi antara gaya hidup moden dan budaya digital yang semakin kukuh dalam kalangan masyarakat Malaysia.



