Malaysia tegas tolak kemasukan e-waste, 818 kontena dikenal pasti di Pelabuhan Klang – Arthur Joseph

KLANG, 29 Feb 2026 — Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menjadikan negara ini sebagai destinasi pelupusan sisa elektronik (e-waste) atau buangan terjadual secara haram.

Arthur Joseph berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang hari ini bagi meninjau status penahanan kontena yang disyaki mengandungi e-waste.

Lawatan tersebut adalah susulan dapatan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk memperkukuh tadbir urus serta kecekapan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar.

“Malaysia tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan terjadual selaras dengan Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, konvensyen tersebut menetapkan bahawa semua aktiviti import, eksport, transit atau pemindahan buangan terjadual perlu mendapat kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar terlebih dahulu.

“Sehingga kini tiada sebarang kebenaran import e-waste dan buangan terjadual lain dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Berdasarkan rekod semasa, daripada 818 kontena yang berada di pelabuhan, sebanyak 605 kontena telah diperiksa setakat ini oleh JAS.

Daripada jumlah tersebut, 503 kontena berada di bawah siasatan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan telah diperiksa menerusi pelaksanaan Ops Dermaga, iaitu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan JAS bertindak sebagai agensi kes predikat.

Sebanyak 213 kontena lagi masih belum diperiksa.

Susulan lawatan tersebut, Arthur mengarahkan JAS bersama agensi berkaitan melaksanakan Operasi Bersepadu Khas bagi menangani lambakan kontena yang belum diperiksa dan mengenal pasti secara tepat jumlah kontena terlibat dalam penyeludupan e-waste.

“Kementerian berpendirian teguh, Malaysia bukan tempat buangan sampah,” tegasnya.

Tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling

Beliau berkata kerajaan memandang serius sebarang aktiviti pengimportan haram buangan terjadual yang boleh menjejaskan keselamatan alam sekitar serta kesihatan awam.

Antara peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan termasuk, Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Seksyen 43 akta yang sama memperuntukkan tindakan terhadap ejen atau syarikat perkapalan yang gagal mematuhi prosedur pengimportan ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Arthur memaklumkan beliau telah menandatangani arahan untuk memindahkan bahan e-waste daripada Senarai Dua ke Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Langkah itu bertujuan membolehkan penguatkuasaan larangan mutlak terhadap barangan e-waste, sekali gus memberi kuasa kepada pihak kastam untuk menghalang kemasukan atau menurunkan kontena e-waste daripada kapal setibanya di pelabuhan negara.

NRES turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), JKDM, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Westports Malaysia Sdn. Bhd. atas kerjasama dalam operasi penguatkuasaan tersebut.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi tempat pembuangan sampah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat