Perlembagaan Pas bukan al- Quran, Mursyidul Am pastikan parti tak menyeleweng – Naib Presiden Pas

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad mengingatkan, dalam apa jua perselisihan dalam Pas rujukan utama ialah Perlembagaan Parti.

Bagaimanapun kata Idris, bekas Timbalan Presiden Pas Almarhum Hassan Shukri pernah berpesan bahawa Perlembagaan Pas bukan al-Quran.

“Namun wasiat beliau juga jelas, apa yang terkandung dalam Perlembagaan Pas tidak bercanggah dengan al-Quran dan prinsip Islam.

“Dalam apa jua perselisihan dalam Pas, rujukan utama ialah Perlembagaan Pas. Itulah disiplin jemaah.

“Saya sendiri berpengalaman ketika diberi amanah sebagai Setiausaha Jawatankuasa Tatatertib Pas yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Mahfuz, di bawah kepimpinan Mursyidul Am almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.

Menurut Idris, setiap aduan dan kes yang dikemukakan akan dirujuk kepada Perlembagaan Pas, bukan sentimen, bukan emosi.

“Sebab itu, saya sentiasa menasihatkan pimpinan di semua peringkat di dalam usrah, tamrin, liqa’ fikri dan pertemuan dalaman jangan sesekali membelakangkan Perlembagaan parti.

“Jika berlaku perselisihan, Perlembagaanlah yang menjadi rujukan.

“Inilah kekuatan Pas yang paling besar,” tegas beliau.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu menyatakan, Pas
memiliki Majlis Syura Ulama (MSU) yang dipimpin oleh Mursyidul Am, bagi memastikan dasar dan perjalanan parti tidak menyeleweng daripada al- Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas.

Justeru kata beliau, jika berlaku penyelewengan, MSU akan membuat keputusan dan mengambil tindakan.

“Jika wujud kekaburan dalam Perlembagaan, MSU diberi kuasa mentafsirnya.

“Saya masih ingat dalam satu kes yang dirujuk kepada MSU berkaitan tafsiran umur keahlian Dewan Pemuda, sama ada had umur 40 tahun dikira pada 1 Januari atau tarikh sebenar kelahiran.

“MSU memutuskan bahawa umur 40 tahun dikira pada tarikh sebenar lahir, bukan 1 Januari. Maka seseorang masih layak memegang jawatan selagi mesyuarat diadakan sebelum tarikh genap 40 tahun tersebut.

“Selain itu, MSU juga menapis dan meluluskan calon-calon pilihan raya yang dicadangkan oleh kawasan dan Pas Pusat, bagi memastikan kelayakan dan integriti calon,” ujarnya.

Sementara itu kata beliau, Jawatankuasa Pas Pusat yang dipimpin oleh Presiden mengurus urusan harian parti,keahlian, strategi, kewangan, kempen, serta penentuan kerusi yang akan ditandingi.

Jelas Idris, Pas bergerak dengan disiplin jemaah, berpaksikan Perlembagaan, dan dipandu oleh ulama.

“Inilah yang membezakan Pas dan menjadi sumber kekuatannya sejak dahulu hingga kini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat