KUALA LUMPUR – Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hendaklah kekal dan tidak dimansuhkan dan diurus tadbir seperti mana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(I) Perlembagaan PN, tegas Presiden Pas.
Menurut Tan Sri Abdul Hadi Awang, adapun mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa, “dengan penstrukturan semula PN, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dimansuhkan dan hal pelantikan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit”.
“Saya ingin menegaskan bahawa isu ini sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh pihak kami termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari 2026.
“Malahan sebagai rujukan asas berkaitan Majlis Eksekutif PN, dalam surat saya bertarikh 14 Disember 2024 juga Pas menggariskan cadangan seperti berikut iaitu
Majlis Tertinggi PN (MTPN) harus menjadi Majlis Eksekutif (ME) yang bertanggungjawab melaksanakan segala perancangan parti dari sudut perorganisasian, pentadbiran dan strategi bagi memperkukuhkan parti gabungan ini terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) mahu pun pilihan raya umum (PRU).
“Kuasa dan fungsi ME hendaklah digariskan dengan terperinci yang turut diselaraskan dengan idealisme dan perancangan parti-parti anggota.
“Dalam menjalankan fungsinya, ME mempunyai akauntabiliti kepada Majlis Presiden yang berperanan memantau dan mengawal selia ME dari segi dasar dan hala tuju yang ditetapkan oleh parti,” tegas Hadi.
Timbalan Pengerusi PN itu mengingatkan, berdasarkan kepada perkara tersebut, maka adalah menjadi pandangan dan pendirian PAS bahawa Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan “Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN, selaras dengan Fasal 7A Perlembagaan PN.
“Majlis Tertinggi PN hendaklah juga menjadi Majlis Eksekutif PN yang bertindak sebagai ‘Badan Pelaksana’ dalam segala urusan pentadbiran dan strategi parti, selaras dengan Fasal 8 Perlembagaan PN,” kata Hadi lagi.
Beliau berkata demikian, mengambil maklum akan isi kandungan surat Presiden Bersatu Muhyiddin bertarikh 27 Januari 2026 yang ditujukan kepada semua Presiden Parti-Parti Anggota PN, dan Pas menyambut baik komitmen semua parti-parti anggota untuk memperkukuhkan lagi kesepakatan sesama dalam PN.



