KUALA LUMPUR – Pas tidak bersetuju dengan cadangan pembentukan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
Menegaskan perkara itu Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas kesal dengan penularan surat Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditujukan kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN bertarikh 27 Januari 2026, seperti yang tersebar kepada pihak media.
“Pihak kami (Pas) tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
“Sehubungan itu pihak kami akan menyatakan pendirian terhadap perkara tersebut secara bersurat kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN, untuk perhatian sewajarnya,” kata Takiyuddin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu mencadangkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula, susulan pertikaian dalaman yang berterusan berhubung pelantikan ketua baharu.
Dalam sepucuk surat kepada pimpinan Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), bekas Perdana Menteri itu berkata Bersatu dan Pas bersetuju PN perlu distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu iaitu Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan Pas.
Beliau berkata, Majlis Presiden akan berfungsi sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan itu, termasuk menetapkan dasar, manakala Majlis Eksekutif pula akan mengurus pentadbiran harian selaras dengan keputusan yang dibuat.



