PM mahu Perak jadi contoh kepada negeri lain untuk projek IPR-INTAN

- Advertisement -

IPOH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Perak menjadi contoh kepada negeri lain untuk projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN).

Beliau berkata Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan exco berkaitan memaklumkan mereka telah mengenal pasti beberapa lokasi di negeri itu untuk diusahakan serta sudah diberikan kelulusan.

“… tetapi ada prosesnya, mungkin kena maklum kepada mesyuarat kerajaan negeri dan sebagainya atau lembaga badan-badan yang lain.

“… Perak negeri pertama dan mempunyai tanah yang paling besar untuk projek pertanian moden seperti ini,” katanya ketika berucap selepas melawat IPR-INTAN Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Ulu Kinta di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Anwar berkata sekiranya terdapat keperluan lain, Kementerian Ekonomi boleh menyediakan apa yang diperlukan bagi projek itu di Perak.

Beliau juga berharap perkara membabitkan tanah bagi projek itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) akan datang yang membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kementerian berkaitan.

“Saya sebutkan tadi tanah penjara, tanah Kementerian Dalam Negeri, tanah Kementerian Pendidikan, tanah Kementerian Kesihatan dan lain-lain yang dipinjam untuk sementara waktu (bagi projek IPR).

“Saya tidak tahu sama ada minimum lima tahun, saya tidak pasti tetapi harus disediakan, ini kita nak dalam masa yang singkat,” katanya.

Rafizi pula berkata selepas tujuh bulan IPR dilancarkan, Kementerian Ekonomi hanya berjaya mendapat 1,000 ekar tanah di seluruh negara.

“Ini adalah tanah Kerajaan Persekutuan yang dipegang oleh agensi masing-masing tetapi kita sedia maklum ada banyak lagi di agensi dan kementerian pusat, kita juga sedia maklum ada banyak lagi tanah di kerajaan negeri,” katanya dalam ucapan alu-aluan.

Beliau berkata sasaran Kementerian Ekonomi sebagai sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan ialah mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan untuk golongan miskin tegar seperti projek IPR yang memberi gaji setiap bulan menjelang akhir 2025.

“Saya melihat IPR ini hanya sebagai mewujudkan peluang pekerjaan terutama di kawasan luar bandar yang kita memang tidak boleh bawa kilang.

“Cara terbaik untuk mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan pedalaman ialah kita bawa tapak IPR, setengah ekar seorang,” katanya.

IPR, yang merangkumi tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), INTAN dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), dilancarkan pada 26 Feb 2023 dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat