‘Tajuddin puji sikap berlapang dada Zahid, ketepikan perbezaan pendapat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana menyelesaikan perselisihan mereka yang telah berlarutan selama lebih dua tahun.

Tajuddin memuji sikap berlapang dada Zahid yang mengetepikan perbezaan pendapat mereka sebelum ini dan menyambut baik keputusan untuk menerima beliau semula ke dalam parti.

“Saya dengan penuh hormat menerima nasihat yang diberikan oleh beliau. Insya-Allah, saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau sebagai ahli Umno, tokoh penting dalam parti, dan sebahagian daripada individu penting dalam kerajaan semasa,” katanya dalam mesej video khas yang dihantar kepada New Straits Times pagi Rabu.

Tajuddin sebelum ini digantung keahlian daripada Umno selama enam tahun pada Oktober 2022 akibat kritikannya terhadap Zahid.

Kira-kira empat bulan sebelum penggantungannya, Tajuddin digugurkan daripada jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan juga sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Tajuddin berkata, beliau telah menunggu keputusan ini selama hampir dua tahun dan berjanji untuk terus berkhidmat kepada parti, khususnya dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Syukur kepada Allah, saya telah menunggu detik ini hampir dua tahun. Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi parti yang sebulat suara menyokong keputusan untuk menarik balik penggantungan keahlian saya.

“Saya bersemangat untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada usaha parti dalam mempertahankan masa depan bangsa, agama, dan negara tercinta kita,” katanya memetik laporan BH.

Beliau turut menghargai sokongan yang diterimanya daripada penyokong melalui panggilan telefon, mesej WhatsApp, dan media sosial yang mendorongnya untuk terus berjuang bersama rakan-rakan Umno.

“Saya amat menghargai galakan mereka, dan dengan izin Allah serta kesihatan yang baik, saya akan berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada parti,” tambahnya.

Dalam video lima minit 46 saat itu, Tajuddin turut menekankan cabaran besar yang dihadapi Umno dalam persiapan menuju PRU16.

“Usaha yang besar diperlukan untuk mendapatkan sokongan pengundi dan rakyat, memastikan Umno dan BN kekal sebagai wakil yang dipercayai rakyat.

“Saya percaya Umno dan BN, bersama sekutu politik kita, akan mengatasi cabaran ini dan mengembalikan parti ke kedudukan yang sewajarnya sebagai kuasa yang dihormati dan berpengaruh,” katanya.

Isnin lalu, Umno menarik balik penggantungan enam tahun terhadap Tajuddin yang berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dibuat selaras dengan perlembagaan parti.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat