KUALA LUMPUR- Majlis Angkatan Tentera (MAT) bersetuju menamatkan pengajian lima pegawai kadet dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terbabit dalam tiga kes buli di universiti berkenaan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pegawai kadet terbabit juga diwajibkan membayar pampasan kepada kerajaan berdasarkan jumlah perbelanjaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh pengajian mereka.
Khaled menjelaskan bahawa MAT mencapai keputusan berkenaan semalam selepas menerima cadangan daripada Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).
“ALK telah mengesyorkan tindakan terhadap lima pelaku tersebut kepada MAT, termasuklah pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet (PK), pemberhentian kerja daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mengenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.
“Tindakan yang dikenakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Khaled, kes pertama membabitkan pelaku iaitu pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021), Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan yang ditamatkan perkhidmatan dan perlu membayar ganti rugi RM44,600.
“Kes ini dikesan oleh seorang jurulatih bertugas di ALK semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober, susulan itu satu siasatan dijalankan dan pelaku sudah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. (Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan yang dituduh di mahkamah atas kesalahan menekap sterika pada tubuh pelatih junior baru-baru ini)
“Dalam kes kedua melibatkan tiga pelaku iaitu Izzat Izuddin Mohammad Arif (pelaku 1), Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (pelaku 2), dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pelaku 3).
“Ketiga-tiga pelaku melakukan antaranya salah laku secara fizikal, serta mengarahkan mangsa untuk melakukan kerja-kerja peribadi dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga pelaku dalam kes kedua ditamatkan perkhidmatan dan masing-masing diarahkan membayar ganti rugi masing-masing berjumlah RM48,452; RM19,481 dan RM44,600.
Kes ketiga membabitkan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Ammar Hafiy Muhammad Habib yang didapati mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa.
Katanya, tindakan salah laku Ammar Hafiy mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada tisu lembut di bahagian bawah belakang tubuh.
“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia berjumlah RM32,115.95.
“Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan bertentangan dengan etika serta peraturan yang ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.
“MINDEF berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan yang sepatutnya diamalkan,”katanya.