KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan ramai ahli yang keluar parti mahu ‘rujuk’ semula dengan mengemukakan permohonan kepadanya.
Pun begitu, beliau enggan mendedahkan identiti individu-individu berkenaan, namun mengesahkan ramai bekas ahli khususnya yang menyertai parti lawan mengutuskan permohonan untuk kembali kepada Umno.
“Ramai yang dahulunya keluar parti dan menyertai parti lawan sudah menghantar permohonan untuk menyertai semula Umno,” katanya.
Beliau mengulas kemungkinan Umno akan mempertimbang untuk menarik semula penggantungan keahlian terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Ia susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditarik serta merta berkuat kuasa kelmarin.
“Setakat ni pejabat tidak menerima apa-apa surat permohonan daripada mereka (Hishamuddin dan Shahril),” katanya memetik BH pada Rabu.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti.
Hishamuddin dan Shahril antara nama besar dalam kepemimpinan Umno yang digantung keahlian selama enam tahun.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin antara sosok berpengaruh dalam Umno yang dipecat parti itu pada 27 Januari tahun lalu.