KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mendoakan agar satu per satu keadilan dan kemenangan akan berpihak kepada Datuk Seri Najib Razak.
Keputusan mahkamah hari ini membuktikan bahawa Najib adalah mangsa pendakwaan politik dan sewajarnya beliau mendapat pengadilan yang adil.
“Alhamdulillah satu keadilan yang dinanti buat Datuk Seri Najib Razak.
“Kita akan terus mendoakan agar satu per satu keadilan dan kemenangan akan berpihak kepada beliau
“Bagaimana beliau didakwa untuk kes ini semenjak 6 tahun yang lepas tetapi masih tidak dibicarakan sehingga keputusan hari ini.
“Keputusan mahkamah hari ini membuktikan bahawa Bossku adalah mangsa pendakwaan politik dan sewajarnya beliau mendapat pengadilan yang adil,” ujar Exco Melaka itu dalam hantaran di Facebooknya.
Pada Ogos 2023, Akmal mendesak (bekas) Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen tular yang didakwa sebagai ‘Memo Dalam’ Jabatan Peguam Negara (AGC) oleh pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Akmal berkata, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 itu menyentuh tentang enam pertuduhan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Menurutnya, sekiranya ia sahih, AGC perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik semula enam pertuduhan yang dikenakan terhadap dua individu tersebut selaras dengan rekomendasi dalam dokumen itu.
“Isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi daripada pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.
“Dokumen yang tular didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas (Peguam Negara Ketika itu),” katanya.
Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat penghakiman lepas tanpa dibebaskan (DNAA) ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dari enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan Mohd Irwan melalui permohonan notis usul difailkan kedua-dua tertuduh hari ini setelah pejabat Peguam Negara gagal menyerahkan dokumen yang menjadi elemen pertuduhan.
Muhammad Jamil berkata kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen sulit yang penting kepada kedua-dua tertuduh untuk persediaan pembelaan mereka telah menyebabkan kecacatan dalam pertuduhan.
Beliau menegaskan pihak pendakwaan gagal mematuhi kehendak Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah yang memerlukan pendakwaan mendedahkan maklumat dan dokumen yang ingin dikemukakan dalam kes terhadap orang yang dituduh, sebelum perbicaraan dimulakan.
Pendakwaan kes ini bermula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Okt 2018 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.