Tanpa Statut Rom, Netanyahu boleh cari perlindungan di Malaysia – Dr Mahathir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tindakan Malaysia tidak meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) membolehkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk mencari perlindungan di negara ini.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Netanyahu dan individu lain yang dinamakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa boleh berlindung di Malaysia memandangkan negara ini tidak diwajibkan untuk menangkap mereka kerana tidak menandatangani Statut Rom.

“Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap Netanyahu Perdana Menteri Israel.

“Lebih 120 negara menandatangani Statut Rom. Statut Rom ini atau dikenali sebagai “Rome statute of the International Criminal Court” telah diterima pakai pada 17 Julai 1998 di Rom dan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2002 berfungsi sebagai perjanjian asas Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang merupakan antarabangsa. tribunal ditubuhkan untuk mendakwa individu bagi jenayah seperti pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, dan jenayah pencerobohan.

“Statut Rom ini menggariskan kewajipan negara pihak untuk bekerjasama dengan ICC, termasuk menangkap dan menyerahkan suspek dan memberikan bukti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia masih belum meratifikasi Statut Rom begitu juga Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia .

“Ini bermakna Netanyahu dan orang lain yang dinamakan oleh ICC boleh mencari perlindungan di Malaysia.

“(Hal ini kerana) kita (Malaysia) tidak diwajibkan untuk menangkap mereka,” ujar beliau.

Sebelum ini, Majlis Peguam Malaysia meminta kerajaan untuk menimbang semula pendiriannya dan meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) susulan perkembangan semasa krisis kemanusiaan di Gaza, Palestin.

Presidennya Karen Cheah berkata, Malaysia sebelum ini sudah menandatangani Statut Rom, namun membatalkan pengesahannya kerana ‘kebimbangan yang salah’.

“Pada 2019, Malaysia menandatangani Statut Rom, tetapi membuat pusingan U kerana wujud kebimbangan yang salah ditimbulkan bahawa ia akan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu kita.

“Salah faham boleh dielakkan dengan komunikasi dua hala, melalui perundingan yang betul,” katanya ketika berucap pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2024 di Putrajaya, pada Isnin.

Terdapat empat jenayah antarabangsa berada di bawah bidang kuasa Statut Rom iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah ke atas kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pelanggaran tanggungjawab antarabangsa.

Statut terbabit mewakili instrumen penting dalam usaha global untuk mempertanggungjawabkan pelaku jenayah perang.

Dalam pada itu, Cheah berkata, pihaknya turut bersolidariti dengan Majlis Peguam Palestin yang telah menghubungi Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan sokongan.

“Majlis Peguam Malaysia ingin mengisytiharkan bahawa kita berganding bahu dengan saudara-saudara kita di Palestin, dan menyokong penuh prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” ujarnya.

Pada 5 April 2019, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.

Malaysia sebelum itu pada mulanya telah bersetuju dengan Statut Rom pada 4 Mac 2019.

Dr Mahathir kemudian berkata, sesetengah individu mendakwa penerimaan terhadap Statut Rom bakal menyebabkan Malaysia kehilangan kedaulatannya untuk menggubal dasar dan undang-undangnya sendiri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat