KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mencadangkan agar Perdana Menteri mengganti jawatan Datuk Seri Tiong King Sing dengan ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Syor Akmal itu susulan kenyataan dan tindakan King Sing yang dinilai sebagai tidak memahami sensitiviti rakyat Malaysia dan berbahasa Melayu dengan baik.
Bahkan Adun Merlimau itu menuntut King Sing mengadakan debat terbuka berkait isu papan tanda.
“Kalau nak lebih baik, saya cabar menteri untuk kita berdebat secara terbuka tentang kenyataan menteri terhadap papan tanda boleh?
“Kamu yang keluarkan kenyataan yang berbaur perkauman lepas tu nak salahkan orang lain yang perkauman pula.
“Tuduh saya memalukan parti saya apabila lawan apa yang kamu katakan?
“Hey menteri,kau tu yang memalukan negara jadi menteri pun masih tidak boleh faham sensitiviti rakyat Malaysia dan berbahasa melayu dengan baik
Level apa menteri ni?
“Saya mohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tukarlah menteri ni kepada orang yang jauh lebih layak,baik lagi ambil ahli Parlimen Jelutong jadi menteri pelancongan lah,” desak Ketua Pemuda Umno itu dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Akmal berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu yang mempersoalkan sumbangannya di Melaka selaku Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan .
“Untuk Akmal, saya ingin tahu apa yang telah beliau lakukan untuk Melaka sebagai Exco. Jangan terus mencetuskan isu perkauman seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil baru-baru ini,” katanya.
King Sing malah menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan Akmal hanya memalukan Umno dan boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat, seterusnya menjejaskan kestabilan politik dan pembangunan negara.
Justeru Akmal tampil menyenaraikan 11 polisi yang dibangunkan beliau sepanjang tiga tahun menjadi Exco kerajaan.
“Melaka menjadi negeri pertama ada perkhidmatan close care to u, yang mana perkhidmatan penjagaan luka dan tukar tiub makanan di rumah secara percuma untuk rakyat B40 yang terlantar sakit; Melaka menjadi antara negeri pertama yang menawarkan ambulans percuma kepada golongan B40 untuk membawa mereka ke rawatan susulan di hospital dalam dan luar negeri Melaka.
“Melaka telah mempunyai polisi yang mewajibkan setiap pusat tumpuan orang ramai mesti menyediakan AED semasa saya menjadi Exco kesihatan. Selain itu, Melaka negeri pertama yang akan mempunyai sukarelawan perubatan di setiap kampung yang dikenali sebagai paramedik komuniti.
“Melaka antara negeri yang menyediakan saringan perkhidmatan kesihatan secara percuma di klinik swasta dan dilakukan ketika saya menjadi Exco dan juga Melaka negeri pertama yang mempunyai ladang benih padi sendiri untuk kegunaan pesawah di dalam negeri Melaka,” hurai Akmal.
Selain itu, beliau juga memaklumkan masalah pengairan sawah di bukit rambai selesai setelah tertangguh beberapa tahun lamanya.
Juga katanya, masalah tanah Orang Asli selesai setelah beberapa tahun lamanya; skim perumahan nelayan di kuala linggi selesai setelah beberapa tahun lamanya.
“Melaka mempunyai program melon to million yang memberi latihan kepada pertanian secara percuma; Melaka mendapat satu lagi taman kekal pengeluaran makana.
“Ini antara yang saya senaraikan dahulu untuk menteri baca,kalau nak senaraikan semua takut menteri jadi pening,kalau nak tahu lebih lanjut, menteri boleh datang ke Melaka jumpa dengan saya ataupun jumpa dengan rakyat Melaka.
“Ataupun jika menteri terlalu malas,boleh saja tengok di media sosial apa yang telah saya lakukan sepanjang 3 tahun menjadi Exco,” tegas Akmal.