KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menziarahi Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin di kediamannya di Sanglang, Perlis pada Khamis.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu mendoakan semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik buat Hashim.
“Sempena kehadiran saya ke Alor Setar, Kedah bagi merasmikan Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) 2035, saya mengambil kesempatan untuk menziarahi Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin di kediamannya di Sanglang, Perlis.
“Alhamdulillah, hati saya cukup gembira melihat keadaan kesihatan Tuan Guru yang semakin pulih. Kami sempat berbual, bertanya khabar dan saling mendoakan. Pertemuan yang ringkas, tetapi cukup bermakna.
“Saya sentiasa menghormati Tuan Guru sebagai seorang ilmuwan yang telah lama mendidik masyarakat dan memberikan panduan kepada ummah.
“Saya mendoakan semoga Allah SWT terus mengurniakan Tuan Guru kesihatan yang baik, memanjangkan usia beliau dalam keberkatan serta memberikan kekuatan untuk terus menyumbang kepada agama, ummah dan negara,” katanya.



