KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah Tunku Nashrul Abaidah mengecam kenyataan biadab Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menghamburkan makian terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terkait isu lesen premis perjudian di negeri Darul Aman itu.
Hakikatnya kata beliau, Sanusi selaku Menteri Besar yang menerajui keputusan tersebut telah kalah dalam tindakan undang-undang berkenaan.
“Tindakan pentadbiran pimpinannya dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri, manakala permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Tunku Nashrul yang juga Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri menegaskan, Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama, yakni badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman. Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah.
“Sanusi usah baling batu sembunyi tangan. Sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu ini jelas mencerminkan kemunafikan politik.
“Realitinya, ketika Pas berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
“Sebaliknya, Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada 8 kali setahun.
“Tindakan paling celaka adalah mengelirukan rakyat, memaki Anwar dan mengheret pihak yang tiada kena-mengena semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.
“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” bidas Tunku Nashrul lagi.


