SocialCeleb & Lifetelco lancarkan platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia

Inisiatif nasional merentas geografi dan kewangan, membuka peluang baharu kepada bakat tempatan untuk bimbingan selebriti, latihan profesional, dan laluan kerjaya dalam industri hiburan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025 – Dunia hiburan tempatan mencatat sejarah apabila Lifetelco dengan kerjasama SocialCeleb melancarkan platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia. Platform inovatif ini bukan sahaja memanfaatkan teknologi untuk menjangkau peserta dari seluruh negara, malah memberi peluang sebenar kepada mereka untuk membina kerjaya dalam industri hiburan melalui bimbingan selebriti, latihan intensif, dan akses kepada projek industri.

Majlis pelancaran yang berlangsung di PJPAC, 1 Utama telah memperkenalkan barisan Star Mentor – Dato’ Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda dan Dato’ Aaron Aziz – yang akan menjadi tunjang dalam membimbing peserta. Turut hadir memberi sokongan ialah barisan Star Celeb seperti Bella Astillah, Harszan, Satthiya Kandi dan Hubert Lee, yang bakal bertindak sebagai inspirasi kepada peserta.

Berbeza dengan pencarian bakat konvensional yang selalunya terhad kepada lokasi tertentu atau hanya menawarkan pendedahan singkat, SocialCeleb membawa pendekatan lebih luas dengan menyediakan ekosistem pembangunan bakat lengkap.

Dengan bayaran penyertaan sebanyak RM110, peserta akan menerima pakej keahlian istimewa yang merangkumi:

  • Kad SIM Lifetelco dengan 110GB data internet (dua bulan)
  • Perlindungan insurans kemalangan peribadi bernilai RM50,000
  • Akses kepada saluran drama dan filem OTT eksklusif
  • Hak untuk menyertai uji bakat rasmi bagi projek drama, filem dan kandungan digital

Menurut Saraleana Nattaya Azmi, Pengarah Rangkaian Lifetelco, platform ini adalah satu bentuk agenda pemerkasaan sosial yang menyasarkan agar setiap individu, tanpa mengira latar belakang, berpeluang menonjolkan bakat mereka.

“Ramai yang mempunyai potensi besar, namun sering tersekat oleh faktor geografi, kos tinggi, atau kurangnya akses kepada saluran yang betul. SocialCeleb adalah jawapan kepada isu ini. Kami mahu membuka ruang yang sama rata kepada semua, sama ada anda berada di kota atau di desa,” jelasnya.

SocialCeleb direka bukan sekadar untuk mencungkil bakat, tetapi untuk memberi laluan sebenar kepada kerjaya. Peserta akan melalui siri bengkel, sesi perkongsian, serta latihan dengan mentor selebriti sebelum berpeluang menyertai uji bakat rasmi.

Yang menarik, 100 peserta terbaik akan dipilih untuk terlibat dalam produksi sebenar – termasuk filem, drama bersiri dan kandungan OTT. Ini memberi mereka peluang bukan sahaja untuk diuji, tetapi juga membina portfolio profesional sejak awal.

Dato’ Aaron Aziz menyifatkan inisiatif ini sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial:

“Kami bukan hanya mencari bintang baharu. Kami mahu memberi kembali kepada industri yang telah membentuk kerjaya kami. Melalui SocialCeleb, kami membuka pintu, mencipta peluang, dan memastikan generasi baharu dapat membina kerjaya yang mampan.”

Pandangan itu dikongsi oleh Dato’ Afdlin Shauki, yang menegaskan bahawa SocialCeleb bukan sekadar pentas sementara:

“Saya percaya platform ini adalah sistem yang terancang. Ia menghubungkan bakat baharu dengan mentor berpengalaman, memberi peluang dalam projek sebenar, dan membentuk kerjaya yang mapan. Inilah bezanya – kita tidak mengejar populariti sekelip mata, tetapi kerjaya yang tahan lama.”

Bagi Nabil Ahmad, inisiatif ini sangat dekat di hatinya kerana beliau sendiri pernah berdepan cabaran dari kampung untuk mencari tapak dalam industri:

“Saya tahu betapa sukarnya untuk masuk ke industri hiburan tanpa kenalan atau sumber. Ramai di luar sana sangat berbakat, tapi tidak tahu ke mana harus melangkah. SocialCeleb datang tepat pada waktunya. Ia menyediakan laluan, latihan, dan peluang yang sama rata untuk semua.”

Nabila Huda pula menekankan nilai keterangkuman yang dibawa SocialCeleb:

“Inilah peluang yang tidak mengenal siapa anda, dari mana asal anda, atau berapa banyak pengalaman yang anda ada. Saya sendiri mahu menjadi mentor, bukan sekadar penilai. Saya mahu bantu peserta melihat potensi diri, menggilap keyakinan, dan benar-benar memahami erti berkarya.”

Dengan sokongan infrastruktur Lifetelco, SocialCeleb memperlihatkan bagaimana teknologi telekomunikasi boleh menjadi jambatan kepada dunia hiburan. Data internet yang disertakan dalam pakej bukan sekadar memudahkan akses kepada platform, malah memastikan peserta boleh berhubung, menghantar rakaman, serta mengikuti bengkel dan sesi latihan secara maya.

Saraleana menambah bahawa peserta tidak perlu lagi berpindah ke bandar besar semata-mata untuk mengejar peluang:

“Anda tidak perlu berada di Kuala Lumpur untuk ditemui. Apa yang kami perlukan hanyalah bakat, keyakinan, dan kesungguhan. Platform ini membawa peluang terus ke tangan anda.”

Dengan pendaftaran yang akan dibuka secara rasmi pada 9 September 2025 melalui www.social-celeb.com, SocialCeleb mengundang semua rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian.

Ia bukan sahaja satu platform pencarian bakat, tetapi sebuah gerakan nasional yang menyasarkan untuk membina generasi baharu penggiat seni. Melalui bimbingan mentor ternama, peluang produksi sebenar, dan sokongan teknologi, SocialCeleb menandakan satu langkah besar ke arah menjadikan industri hiburan Malaysia lebih inklusif, progresif dan berdaya saing.

SocialCeleb membuktikan bahawa bintang masa depan tidak semestinya lahir dari kota – ia boleh lahir dari mana-mana pelusuk negara, asalkan diberi ruang untuk bersinar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat