SAY LEAD 2025 – Usahawan OKU selangor cipta legasi baru dalam dunia keusahawanan

Malam penuh bersejarah tercipta di Sunway Resort Hotel apabila tiga usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) dinobatkan sebagai Ikon Usahawan OKU Negeri Selangor sempena Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) edisi keenam. Majlis penuh gilang-gemilang itu dipengerusikan sendiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor yang juga merupakan pengasas dan penaung diraja Selangor Youth Community (SAY).

Kejayaan malam itu menyaksikan Puan Nur Sabrina dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua menjadi milik Puan Nurhaiza. Puan Azura Othman pula meraih tempat ketiga. Ketiga-tiga usahawan ini dinobatkan selepas melalui proses penilaian ketat oleh lima panel juri, termasuk DYTM Raja Muda Selangor sendiri. Dalam majlis yang sama, dua usahawan muda, iaitu Adik Nur Nuha dan Aiman Aznur, turut menerima pengiktirafan khas apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Usahawan OKU Harapan, melambangkan sinar baharu dan kesinambungan generasi muda dalam dunia keusahawanan inklusif.

Puan Nur Sabrina Juara

Sebagai penghargaan kepada usaha gigih mereka, para pemenang menerima pelbagai faedah untuk mengembangkan perniagaan masing-masing. Selain piala dan sijil pengiktirafan daripada Selangor Youth Community (SAY), mereka turut menerima geran perniagaan tajaan penuh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dengan nilai RM5,000 untuk juara, RM4,000 untuk naib juara, RM3,000 untuk tempat ketiga dan RM1,000 untuk kategori Usahawan Harapan.

Lebih daripada itu, ketiga-tiga pemenang utama layak melangkah ke peringkat seterusnya, iaitu SAY LEAD+, sebuah program bimbingan intensif selama tiga bulan yang memberi peluang untuk memperluaskan capaian pasaran, menguasai strategi digitalisasi serta membina potensi eksport. Mereka juga bakal menerima reruai perniagaan percuma, bimbingan kewangan daripada PUNB, sistem POS tajaan Yayasan MBI Selangor serta laman web percuma yang disediakan oleh App Engage.

SAY LEAD edisi kali ini bermula sejak Mei 2025 dengan penglibatan seramai tiga puluh usahawan OKU dari seluruh negeri Selangor. Mereka menjalani siri kursus dan modul keusahawanan merangkumi pembangunan profil usahawan, penjenamaan dan pemasaran digital, pengurusan kewangan, perkongsian bersama agensi berkaitan serta bengkel pembentangan perniagaan. Daripada jumlah tersebut, hanya sepuluh peserta dipilih untuk mara ke pusingan akhir, lalu menampilkan idea dan strategi perniagaan mereka di hadapan juri.

Menariknya, program ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform pertandingan, malah sebagai sebuah gerakan sosial yang inklusif. Ia mendapat dokongan penuh pelbagai pihak, termasuk Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor yang dipimpin oleh YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, serta kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor yang membekalkan data peserta OKU.

Dari sudut penajaan, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tampil sebagai penyumbang utama dengan dana berjumlah RM20,000 dan sokongan bimbingan kewangan, manakala Google menyertai sebagai rakan penaja digital. Tidak ketinggalan, Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor menyumbang sistem POS, manakala App Engage menyediakan laman web percuma untuk membantu para usahawan meningkatkan kehadiran dalam talian mereka.

Barisan juri

DYTM Raja Muda Selangor dalam ucapannya menekankan bahawa kejayaan para usahawan OKU bukan hanya sekadar kemenangan individu, tetapi juga simbol kepada perubahan besar dalam landskap ekonomi negeri. Baginda menegaskan bahawa golongan OKU perlu diberi ruang, peluang dan sokongan agar mereka mampu menjadi pemain ekonomi utama, setanding dengan usahawan arus perdana.

Anugerah Usahawan OKU Harapan yang diberikan kepada Nur Nuha dan Aiman Aznur pula menjadi bukti bahawa bakat baharu dalam kalangan usahawan muda OKU semakin menyerlah. Walaupun masih muda, kedua-duanya dilihat memiliki potensi besar untuk berkembang dengan idea segar serta semangat luar biasa.

Keseluruhannya, kejayaan SAY LEAD edisi keenam ini membuktikan bahawa keusahawanan inklusif bukan sekadar wacana, tetapi realiti yang sedang dibina di Selangor. Dengan sokongan pelbagai pihak, daripada kerajaan negeri, agensi berkaitan hingga syarikat swasta, program ini telah membuka lembaran baharu buat usahawan OKU untuk terus melangkah lebih jauh. Lebih penting lagi, ia mengubah persepsi masyarakat bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada keberanian, daya tahan dan inovasi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat