Talk To My Manager : bila anak jadi produk, Ibu & Bapa jadi pengurus – hiburan dengan nilai kekeluargaan

Program realiti terbaru terbitan Astro, Talk To My Manager (TTMM) mula mencuri perhatian sejak tayangan sulungnya pada 24 Ogos lalu di saluran Astro Ria. Bukan sekadar sebuah rancangan hiburan, TTMM tampil dengan konsep unik yang menyatukan hubungan anak-beranak dalam arena seni tempatan.

Jika kebanyakan program realiti menekankan bakat semata-mata, TTMM membawakan kelainan dengan memberi ruang kepada ibu bapa untuk bertindak sebagai pengurus kepada anak masing-masing, sekali gus menjadikan perjalanan pertandingan lebih bermakna.

TTMM menggabungkan barisan peserta yang bukan asing dalam industri. Antara pasangan yang menyertai ialah Siti Saerah bersama anaknya Amad, Sharifah Shahirah bersama Audrra, Sharifah Zarina bersama Athalia, Liza Hanim bersama Marsya serta Ina Naim bersama Hadie.

Bukan itu sahaja, konsep ini turut melibatkan bapa sebagai pengurus dengan kemunculan Ameng bersama Ammar, Shuib bersama Thalita, dan Aziz M. Osman bersama anaknya Ara Aziz.

Kesemua pasangan ini dilihat membawa dinamika keluarga masing-masing ada yang lebih tegas, ada yang penuh dengan jenaka, malah ada yang sarat dengan emosi tatkala membimbing anak sendiri dalam dunia seni.

Menariknya, TTMM bukanlah program hiburan tipikal. Ia bukan sekadar pentas persembahan, sebaliknya menjadi ruang untuk memperlihatkan bagaimana anak-anak sebagai bakat baharu diurus dan dipasarkan oleh ibu atau bapa mereka.

Konsep ini memberi mesej yang lebih luas kepada penonton betapa pentingnya peranan keluarga dalam membentuk kerjaya seni seseorang artis. Ia juga membuka mata masyarakat tentang realiti di sebalik industri hiburan, di mana sokongan pengurus atau orang terdekat memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju kerjaya seseorang.

Selain pertandingan utama, TTMM turut disusuli dengan segmen Post Mortem yang bersiaran setiap Ahad jam 11 malam. Segmen ini dihoskan oleh pasangan bapa-anak yang kini menjadi fenomena di media sosial, iaitu Dato’ Alif Syukri dan anak lelakinya, Ammar Ahyan (Ammayan).

Walaupun mereka bukan peserta, kehadiran dua beranak ini telah menambahkan seri TTMM. Alif dengan gaya bersahajanya yang kecoh sering kali tersasul ketika mengacara, manakala Ammayan pula tampil tenang, serius dan lurus membaca skrip, menjadikan perbezaan karakter mereka ibarat “langit dan bumi” namun itulah yang mencuit hati penonton.

Gelagat mereka mendapat reaksi hangat di laman sosial. Ramai netizen mengakui terhibur dengan interaksi spontan dua beranak ini yang sebelum ini dikenali melalui siaran langsung jualan di TikTok. Post Mortem TTMM seakan menjadi ‘bonus hiburan’ selepas episod utama, menambah nilai tontonan program.

Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, pemilihan Alif Syukri dan Ammayan sebagai hos Post Mortem TTMM adalah tepat kerana kedua-duanya memiliki aura yang bersesuaian dengan konsep program.

“Aura dan sikap bersahaja mereka ketika siaran langsung sangat dekat dengan penonton. Tambahan pula, nilai kekeluargaan mereka yang erat menjadi faktor utama mengapa produksi memilih pasangan ini,” jelas beliau.

Pada minggu pertama, sistem penjurian TTMM bergantung sepenuhnya kepada pemarkahan juri tetap iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi (Pak Nil) sebagai pengacara, bersama juri tetap Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal.

Namun, bermula minggu kedua, penonton turut berpeluang memainkan peranan penting melalui undian di laman Astro Gempak, menjadikan penglibatan khalayak lebih interaktif.

TTMM akan berlangsung selama 7 minggu dan disiarkan setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria, secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Penonton juga boleh menonton semula menerusi Astro GO dan sooka.

Secara keseluruhan, TTMM membuktikan bahawa sebuah program hiburan tidak semestinya hanya menampilkan pertandingan semata-mata. Dengan menekankan nilai kekeluargaan, keakraban serta legasi seni, ia berjaya memberikan tontonan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga penuh pengajaran.

Hadirnya pasangan popular seperti Alif Syukri dan Ammayan pula menjadikan TTMM bukan sekadar program biasa, sebaliknya sebuah platform yang merayakan hubungan keluarga dalam dunia hiburan.

Talk To My Manager hiburan yang mencuit hati, mendidik, dan menyentuh jiwa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat