Kontroversi dan Hakikat Politik Identiti di Malaysia

OLEH HELME HANAFI

Kontroversi ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bukan sekadar hingar-bingar politik semasa. Lebih penting daripada itu, ia mendedahkan satu realiti yang sering cuba dinafikan dalam wacana kenegaraan kita – politik identiti masih menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.

Ramai menganggap politik identiti sebagai satu toksisiti. Hakikatnya, dalam ilmu sains politik, ia adalah fenomena universal. Ahli akademik Samuel Huntington berhujah bahawa apabila masyarakat merasakan identiti mereka terancam, mereka akan kembali mempertahankan bangsa, agama, dan sejarah. Manakala Francis Fukuyama pula melihat politik moden semakin didorong oleh tuntutan terhadap pengiktirafan identiti (politics of recognition), bukan semata-mata soal pengagihan ekonomi.

Malaysia, dengan demografi dan sejarahnya yang unik, tidak terkecuali daripada fenomena ini.

Asas Sejarah dan Pembinaan Negara

Sebab itu, setiap kali timbul perdebatan mengenai asal-usul negara, kedudukan orang Melayu, atau sejarah Tanah Melayu, reaksinya sentiasa luar biasa. Ia bukan lagi sekadar perbahasan akademik, tetapi menyentuh persoalan asas: Siapakah bangsa teras yang menjadi asas kepada lahirnya negara ini?

Jawapannya tidak boleh dicari melalui emosi, tetapi mesti bermula dengan fakta sejarah.

Sejarah dan arkeologi menunjukkan orang Melayu telah membina tamadun di rantau ini jauh sebelum sempadan moden Malaysia dilukis. Dari kerajaan awal seperti Langkasuka dan Srivijaya, hingga ke Kesultanan Melaka dan Johor-Riau, kesinambungan politik dan ketamadunan Melayu berkembang selama berabad-abad. Masyarakat Melayu terbentuk daripada penduduk asal Asia Tenggara yang berkembang dalam rumpun Austronesia.

Kemudian, tiba era penjajahan British yang mengubah landskap demografi Tanah Melayu secara drastik. Kemasukan buruh dari China dan India bagi memenuhi keperluan ekonomi kolonial (bijih timah dan getah) direkodkan jelas oleh para sejarawan, dan ia menjadi sebahagian daripada proses pembentukan masyarakat majmuk Malaysia hari ini.

Namun, yang sering dilupakan ialah bagaimana orang Melayu memilih untuk bertindak balas terhadap perubahan demografi yang mendadak itu.

Mereka tidak memilih jalan konfrontasi berdarah. Sebaliknya, mereka membina kekuatan politik melalui penentangan hebat terhadap Malayan Union, mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, dan akhirnya menerima formula perkongsian kuasa melalui Perikatan yang membawa negara ke mercu kemerdekaan.

Dengan kata lain, Malaysia tidak lahir dengan memadam sejarah Melayu. Negara ini dibina di atas pengiktirafan terhadap sejarah dan kedudukan Melayu sebagai bangsa teras, yang kemudiannya diperkukuhkan melalui kerjasama politik antara pelbagai kaum dan dimeterai dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Di sinilah letaknya punca mengapa setiap kali kedudukan sejarah ini dipersoalkan, sebahagian besar masyarakat Melayu melihatnya sebagai cabaran terhadap asas negara, bukannya sekadar perbezaan tafsiran akademik.

Paradoks Politik Melayu Hari Ini

Tetapi di sinilah juga orang Melayu perlu berani bertanya kepada diri sendiri satu soalan yang jauh lebih sukar: Apakah ancaman terbesar kepada orang Melayu hari ini benar-benar datang daripada kaum lain, atau sebenarnya datang daripada kelemahan yang kita bina sendiri?

Persoalan ini jauh lebih penting daripada mana-mana ucapan politik di media sosial.

Ironinya, ketika orang Melayu masih miskin, kurang berpendidikan formal, dan baru mengenal politik moden pada era 1940-an dan 50-an, mereka berjaya menyusun gerakan yang akhirnya menggagalkan Malayan Union. Mereka melahirkan tokoh-tokoh yang mampu berunding dengan British, membina institusi politik moden, dan mencapai kemerdekaan tanpa perang saudara.

Hari ini, keadaannya sudah jauh berbeza. Peluang pendidikan lebih luas, kelas menengah Melayu semakin besar, dan akses kepada maklumat tidak pernah semudah ini. Namun, setiap kali timbul polemik identiti, sebahagian masyarakat Melayu kelihatan semakin mudah digerakkan oleh emosi, fitnah, dan retorik berbanding hujah yang rasional.

Inilah paradoks politik Melayu hari ini.

Politik identiti sememangnya penting; tiada bangsa yang boleh hidup tanpa identiti. Tetapi identiti yang tidak disertai ilmu akan melahirkan rasa takut (politics of fear). Identiti yang tidak disokong oleh daya saing hanya akan menghasilkan retorik kosong.

Bagi orang Melayu sendiri, persoalan yang lebih besar bukan lagi sama ada politik identiti perlu dipertahankan – kerana ia akan sentiasa wujud. Persoalannya ialah: Adakah politik identiti itu mahu dibina di atas rasa takut, atau di atas keyakinan?

Kerana bangsa yang benar-benar yakin dengan sejarahnya tidak perlu hidup dalam ketakutan. Mereka mempertahankan warisan nenek moyang bukan melalui kemarahan di media sosial, tetapi melalui ilmu, pencapaian, dan kekuatan institusi.

Mungkin inilah relevansi ayat pertama al-Quran: Iqra’ atau Baca. Membaca sejarah dengan jujur, berfikir dengan kritis, dan membina masa depan dengan ilmu.

Pada akhirnya, sesebuah bangsa tidak dihormati kerana sekuat mana ia melaungkan identitinya, tetapi kerana sejauh mana ia mampu membuktikan identiti itu melalui pencapaian yang membanggakan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat