Diabaikan Asean, Filipina dapatkan sokongan Perancis

- Advertisement -

MANILA: Ketika negara ASEAN seperti Malaysia dan Indonesia memejam sebelah mata terhadap ancaman di Laut China Selatan, Filipina meneruskan kesiapsiagaan mereka dalam berhadapan ancaman China dengan turut menjemput Tentera Laut Perancis dalam latihan perang mereka.

Menurut laporan dari Manila. Tentera Laut Perancis membuat penampilan sulung dalam latihan perang tahunan antara Amerika Syarikat (AS) dan Filipina di laut China Selatan yang menggambarkan solidariti antara Washington dan sekutunya dalam membantu Filipina mempertahankan wilayah maritim yang dituntut oleh China.

Latihan 10 hari yang bermula 25 April lalu oleh aset ketenteraan Filipina – kapal peronda luar pesisir Filipina, BRP Ramon Alcaraz dan dok pendaratan BRP Davao del Sur – disertai  dok kapal pendaratan AS, USS Harpers Ferry dan kapal perang Perancis, FS Vendemiaire.

Kapal dari ketiga-tiga negara itu menjalankan pelbagai latihan maritim dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) 200 batu nautika Filipina.

Keamanan Laut China Selatan agak tergugat berikutan tindakan Pasukan Pengawal Pantai China terus memasuki sempadan-sempadan maritim negara Asean yang mereka tuntut menerusi peta Garisan Sengkang Sembilan (Nine Dash Line)

Kira-kira 16,000 tentera iaitu 11,000 dari AS dan 5,000 dari Filipina akan mengambil bahagian dalam latihan itu bersama ratusan tentera dari Perancis dan Australia.

Sebelum ini Perancis hanya menghantar pemerhati tentera dalam latihan Balikatan atau ‘shoulder-to-shoulder’ (bahu ke bahu).

Duta Besar Perancis ke Indo-Pasifik, Marc Abensour berkata, penyertaan FS Vendemiaire dalam latihan itu bukanlah unik, kerana Perancis menggunakan aset tentera lautnya di bahagian yang berlainan di rantau berkenaan.

“Namun, ia menunjukkan bahawa Filipina adalah rakan kongsi utama untuk Perancis dalam rangka kerja strategi Indo-Pasifik kami.

“Kami komited sepenuhnya terhadap kebebasan pelayaran, penerbangan, penghormatan terhadap undang-undang laut, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS),” katanya.

Beliau merujuk kepada rangka kerja perundangan antarabangsa yang komprehensif, di mana tribunal antarabangsa, berdasarkan keputusannya, menolak tuntutan menyeluruh China ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, pada 2016.

Beijing mengabaikan keputusan itu dan sebaliknya meningkatkan kehadiran dan aktiviti tenteranya, termasuk menembak meriam air ke atas kapal Filipina yang menghantar bekalan kepada tentera yang ditempatkan di pos tentera terpencil di Kepulauan Spratly.

Tanpa menyebut China, Abensour berkata Perancis ‘menentang sebarang ancaman atau paksaan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa’.

Dalam menghadapi apa yang dilihat sebagai pencerobohan China yang semakin meningkat di Laut China Selatan, Filipina di bawah pimpinan Ferdinand Marcos Jr meningkatkan kerjasama pertahanannya dengan sekutu seperti AS dan Perancis.

Pada Disember 2023, Manila dan Paris menandatangani pakatan yang menyatakan minat kedua-dua negara untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan mereka, termasuk perbincangan untuk kemungkinan kunjungan pasukan pelawat.

Rundingan rasmi mengenai perjanjian pertahanan ini masih belum bermula, namun Abensour berkata, rakyat Filipina boleh mengharapkan lebih banyak kunjungan daripada kapal Perancis dalam masa terdekat.

Pada 22 April lalu, Naib Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China, Zhang Youxia menyelar latihan Balikatan.

Beliau mengatakan Laut China Selatan tidak seharusnya dianggap seperti arena di mana negara boleh menonjolkan ‘kekuatan kapal perang’ mereka.

“Hakikat menunjukkan bahawa mereka sengaja membuat provokasi, mencetuskan ketegangan, atau menyokong satu pihak bagi kepentingan masing-masing yang akhirnya hanya akan mencederakan diri sendiri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat