Berapa Kali Nak Ulang Hujan Lebat, KL Banjir? – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR -Bandaraya Kuala Lumpur berdepan situasi kritikal setiap kali dilanda hujan lebat dan keadaan ini menuntut kerajaan bertindak mencari penyelesaian.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata nanti kalau ada hujan, banjir lagi, ulang semula berita banjir ini macam cerita ‘abang Jamil’ namun kerajaan buat tak tahu.

“Hujan tak lama pun – tetapi KL telah dilanda banjir. Ini situasi yang terlalu kritikal untuk KL.

“Tak masuk akal bagaimana nasib ibu kota Malaysia bergantung kepada keadaan cuaca pada hari-hari tertentu.

“Kalau hujan lebat, banjir. Kalau tak hujan, tak ada banjir,” kata Syed Saddiq dalam kenyataan pada Rabu.

Bidas Ahli Parlimen Muar itu lagi, ini bukan bandar biasa – ini ibu negara Malaysia. Ini mercu negara.

Katanya, Kuala Lumpur ialah tempat paling banyak pelabur dan syarikat konglomerat bertapak. Kawasan paling banyak mendirikan bangunan kedutaan asing.

“Tapi setiap kali hujan, banjir. Malulah,” tempelaknya.

Pun begitu kata Syed Saddiq, malangnya tidak ada respons yang serius dari Kerajaan Malaysia dan Menteri Wilayah (saya fikir memang tidak akan ada respons sebab soal banjir ini dianggap biasa berlaku).

“Hujung tahun lepas, negara rugi lebih RM6.1 bilion kerana banjir. Kereta rosak, rumah masuk air, perabot semua musnah. Dua hari lepas pun banjir lagi, ada kereta yang rosak lagi.

“Kalau tak ada insurans kenderaan berkaitan banjir, susah pemilik kenderaan nak tanggung. Kerajaan pula buat diam tak tahu apa-apa,” ujar beliau.

Dua hari lepas Kuala Lumpur sekali lagi dilanda banjir. Hujan lebat yang turun pada belah petang telah menghalang kenderaan untuk gunakan beberapa jalan utama sekitar Kuala Lumpur.

Kawasan terlibat iaitu Jalan Kuching; Jalan Tunku Abdul Halim; Jalan Sematan; Pintasan Segambut; Jalan Segambut; Jalan Kinabalu (Bulatan Mereka); Jalan Changkat Thambi Dollah dan Lebuhraya Sultan Iskandar.