Ini akibatnya pilih orang salah pimpin negara, Pas desak siasatan menyeluruh jika wujud unsur rasuah dalam industri beras

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sama ada wujud unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam industri beras.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari juga menuntut agar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) harus segera membuat laporan polis dan memburu pihak yang terlibat dalam skandal ini.

Bukan cuma itu, Fadhli juga menggesa akta khas perlu digubal segera bagi melarang pencampuran beras tempatan dengan beras import tanpa kawalan ketat.

“Syarikat yang terlibat dalam manipulasi bekalan beras wajib dikenakan tindakan tegas, termasuk denda berat dan penarikan lesen operasi.

“Kerajaan tidak boleh terus bermain wayang dan mengalihkan perhatian rakyat dengan isu-isu lain sementara skandal besar seperti ini berlaku di depan mata.

“Ini adalah soal kepercayaan rakyat dan keterjaminan makanan negara. Dan untuk rakyat, percayalah inilah akibatnya jika memilih orang yang salah untuk memimpin negara. Baginya, lebih baik menjadi hero di pentas dunia berbanding membela nasib rakyatnya sendiri. Itupun, kelihatan pentas dunia tidaklah mengiktirafnya sebagai hero! tempelak beliau.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, KPKM seharusnya kementerian ini menjadi benteng utama dalam memastikan pengurusan beras negara adalah telus dan berintegriti.

Menurut beliau, malangnya, setakat ini, mereka hanya memberikan kenyataan ‘akan menyiasat’ tanpa tindakan konkrit.

“MARDI – Walaupun berjaya membongkar skandal ini, mereka tidak boleh sekadar mengeluarkan laporan tanpa menggesa tindakan lebih tegas. Laporan polis harus segera dibuat terhadap pihak yang bersalah.

“Syarikat pemborong dan pembekal beras – siapa yang mendapat manfaat daripada pencampuran ini? Adakah syarikat-syarikat tertentu yang telah lama memonopoli industri beras terlibat? Jika ya, SPRM wajar menyiasat segera.

“Kerajaan – akhirnya, segala kelemahan ini berpunca daripada dasar yang tidak ketat dan penguatkuasaan yang longgar. Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini.

“Kalau dahulu, sudah tentu Pakatan Harapan (PH) akan mendesak menteri yang terlibat meletak jawatan. Tapi kali ini, kita tidak mahu desakan seperti itu. Mengapa? Kerana walaupun menteri letak jawatan, jika Perdana Menteri masih orang yang sama, masalah tetap tidak akan selesai.

” Oleh itu, hadap dan selesaikan masalah ini segera sementara masih ada mandat. Jangan tunggu pilihan raya akan datang, kerana selepas itu, boleh jadi kamu tidak lagi punya peluang untuk bertindak.

“Percayalah, rakyat sudah muak dengan alasan dan janji kosong,” kata Fadhli lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat