Oleh Zihan Zari
LANGKAWI – Balai Seni Negara Langkawi membuka tirai 2025 dengan program Kem Ilustrasi Botani: Rasa Alam, sebuah inisiatif yang menggabungkan seni, sains, dan teknologi dalam konteks alam semula jadi.
Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan program yang berlangsung selama lapan hari bermula 19 Februari lalu, mengetengahkan kekayaan biodiversiti Pulau Langkawi.
Ianya memberi tumpuan kepada flora tempatan yang bukan sahaja menjadi sebahagian daripada ekosistem, malah warisan budaya masyarakat setempat.
“Seramai 14 orang artis jemputan terlibat dalam menghasilkan karya ilustrasi botani berdasarkan pemerhatian langsung di Hutan Lipur Lubuk Semilang dan Trail Hutan Hujan, Ayer Hangat.
“Setiap karya yang dihasilkan bukan hanya sekadar menampilkan keindahan tumbuhan secara visual, tetapi turut juga memperincikan bentuk, struktur, dan ciri unik seperti daun, bunga, buah, serta biji benih.
“Artis yang terlibat ialah Bayu Utomo Radjikin, Dr. Zaimie Sahibil, Dr. Hushinaidi Abdul Hamid, Dr. Zainuddin Abidinhazir @ Abd. Rashid, Zaharuddin Sarbini, Jamal Tumiran, Hashim Man, Rohaizad Shaari, M. Aminuddin Osman, Leong Sok Yeng, Yeo Eng Peng, Mohammad Shahrin Dato’ Hj. Shaari, Syahrudin Ishak, dan Abu Shukran Md Salleh,”kata kenyataan itu pada Rabu.
“Selain berkarya, mereka juga berkongsi ilmu dan perspektif, menjadikan program ini bukan sekadar eksplorasi seni malah turut menjadi satu wadah pendidikan yang memperkaya pemahaman tentang hubungan manusia dengan alam.
“Sebanyak 28 karya, terdiri daripada 24 karya ilustrasi botani atas kertas, 2 arca, dan 2 animasi AR yang dihasilkan akan dipamerkan di Balai Seni Negara Langkawi bermula 26 Februari hingga 31 Julai ini.
“Pameran ini bukan sekadar apresiasi terhadap seni ilustrasi botani, tetapi juga sebuah pengalaman yang mengajak pengunjung menghayati Rasa Alam.
“Bukan hanya dari sudut visual, malah melalui pemahaman yang lebih mendalam tentang flora Langkawi dan peranannya dalam kehidupan seharian, ”katanya.
“Pameran ini turut menjadi wadah kolaborasi merentas bidang, memperkukuh kesedaran tentang pemuliharaan biodiversiti serta kepentingan flora dalam ekosistem dan warisan budaya.
“Program Kem Ilustrasi Botani: Rasa Alam turut diisi dengan pelbagai aktiviti serta program sokongan.
“Antaranya, ‘Pengenalan Lukisan Ilustrasi Botani’ bersama Pembantu Penyelidik Program Biodiversiti Flora, Bahagian Biodiversiti Hutan, Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Mohamad Aidil Noordin, di Balai Seni Negara.
“Selain itu, ‘Nature Walk’ bersama Naturalis berpengalaman dari Junglewalla Malaysia Nature Tours, Shaaban Arshad di Jungle Trekking Tour, Langkawi; serta ‘Food Survival’ bersama Pensyarah Kanan, Langkawi Tourism Academy @ Kolej Komuniti Langkawi, Marzuki Muhamad di Hutan Lipur Taman Rekreasi Lubuk Semilang,”katanya lagi.
“Program ini diteruskan dengan sesi pembentangan ‘Ilustrasi Botani sebagai Medium Menyatu dengan Alam’ oleh artis visual dan penulis buku Recalling Forgotten Tastes, Syarifah Nadhirah Syed Abdul Rahman, ”tambahnya.
“Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Langkawi atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.
“Orang ramai dan peminat seni dijemput hadir ke Balai Seni Negara Langkawi untuk merasai sendiri keindahan karya ilustrasi botani yang menyatukan elemen seni, sains, dan alam ini,”tambahnya lagi.-SUARA.TV