Hadiah peminat konsert sulung

- Advertisement -

SEBAGAI kumpulan remaja yang popular, semestinya Floor 88 menyimpan hasrat untuk beraksi dalam sebuah konsert besar.

Kumpulan dianggotai oleh Ayie (penyanyi), Achoi (gitar), Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua) ini tidak sabar untuk memperlihatkan kehebatan sebenar mereka kepada peminat.

Ayie berkata, mereka bersyukur peluang yang sudah lama dinantikan ini akhirnya tiba menerusi Eighty8 Infinity Concert yang berlangsung di Grand Barakah Hotel (GBH), Ampang pada 27 Mac depan.

Ayie menyifatkan konsert sulung mereka ini adalah hadiah buat peminat yang sering menyokong mereka.

“Sebenarnya dah lama kami rancang nak buat konsert, tapi seringkali gagal atas sebab tertentu. Jadi, apabila ditawarkan beraksi dalam Eighty8 Infinity Concert, ia bakal menjadi titik permulaan yang besar dan baharu buat kami.

“Kami sering berlatih untuk persediaan mengadakan konsert dan menerusi Eighty8 Infinity Concert ini, kami akan mempersembahkan 13 lagu termasuk lagu ‘hits’,” katanya.

Menurutnya, semua lagu terbabit bakal diberi susunan baharu, sekali gus peminat yang hadir akan mendengarnya buat kali pertama.

Selain konsert, anggota Floor 88 juga mendapat rezeki berganda apabila pengurusan GBH turut mempelawa mereka untuk menunaikan umrah.

“Sememangnya lamaran ini sukar ditolak. Kami diberitahu, pemilik hotel ini iaitu Razali Mohd Sham adalah peminat setia Floor 88. Ketika pertemuan kali pertama pada Januari lalu, ia tak lebih kepada sesi suai kenal sahaja. Dia kemudian bertanya sama ada kami mahu mengadakan konsert. Pertanyaan itu ibarat membuka jalan dan berasa ini adalah peluang yang sukar untuk dilepaskan,” katanya.

Berkenaan tajaan umrah, Ayie berkata, Floor 88 akan berangkat pada 18 hingga 25 Mei depan.

 

FLOOR 88 bersyukur akhirnya dapat beraksi dalam konsert sulung.
FLOOR 88 bersyukur akhirnya dapat beraksi dalam konsert sulung.

 

“Mengigil kami dibuatnya kerana terharu impian untuk ke Tanah Suci akhirnya akan tercapai. Memang kami dah lama teringin untuk tunaikan ibadah umrah bersama, tapi faktor kewangan menjadi kekangan. Ikutkan perancangan hanya kami berenam yang akan ke sana. Tapi, kalau ada rezeki dan kesempatan, saya harap keluarga kami juga akan turut serta,” katanya.

Dia bagaimanapun tidak akan membawa isterinya memandangkan keadaannya yang sarat hamil ketika itu.

Selain persembahan, Floor 88 turut mengundang Apak atau Harry Khalifah sebagai tetamu istimewa sebagai mengenang jasanya yang banyak membantu menaikkan nama dan lagu mereka sepanjang bertapak dalam industri muzik.

Turut diundang ialah Kizo, manakala kumpulan Caramelt ditampilkan sebagai artis undangan yang membuat persembahan pembukaan.

Tiket konsert bakal dijual dengan harga bermula RM60 hingga RM300 mengikut zon. Harga terbabit merangkumi jamuan makan serta barangan eksklusif Floor 88 yang dijual bermula 1 Mac ini.

Lokasi Eighty8 Infinity Concert yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 dikurangkan kepada 750 penonton bagi tujuan penjarakan fizikal.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat