‘Biarlah nama tak komersil…’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Meskipun namanya kurang komersial, namun, pelakon baharu, Siti Khadijah Halim, 25, tidak pernah terfikir menggunakan nama glamor agar lebih dikenali.

Tegas pelakon drama Dukun Diva itu, dia akan terus menggunakan nama sebenar dan tidak sesekali menukar nama yang dipilih ibu bapanya.

“Saya suka, sayang dan cintakan nama saya. Dari dahulu hingga sekarang, saya menggunakan nama sebenar, Siti Khadijah Halim, sama ada dalam Instagram mahu pun drama.

“Saya bangga menggunakan nama sebenar. Jika ada kesalahan ejaan, saya akan minta pihak produksi membetulkannya.

“Saya juga mahu membawa nama bapa sampai bila-bila. Saya mahu membanggakan bapa dengan terus membawa namanya bersama saya,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Siti Khadijah tidak menafikan pernah meminta nasihat beberapa penerbit dan pengarah berkenaan nama.

“Saya bertanya jika mahu menggunakan nama glamor, nama apa yang patut digunakan. Contohnya, MK K-Clique.

“Dan ramai mengatakan tidak perlu, teruskan kekal dengan nama Siti Khadijah.

“Jadi, biarlah orang kenal saya dengan nama sebenar, bukan samaran,” katanya.

Membawa nama isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah tidak menafikan, dia kerap menjadi mangsa sesetengah netizen yang memandang serong kepadanya kerana tidak bertudung.

“Setengah netizen mempertikaikan nama Siti Khadijah, namun, tidak bertudung? Mereka merasakan penampilan saya tidak sesuai dengan nama yang dibawa.

“Saya faham, sesiapa bebas memberikan komen dalam dunia siber. Tak mengapa, itu pemahaman masing-masing, jadi saya terima dengan hati yang terbuka.

“Disebabkan itu, saya mahu mengekalkan imej sopan. Walaupun tidak bertudung, saya masih dikenali dengan imej baik.

“Saya juga kena mencerminkan nama saya sendiri, Siti Khadijah. Jadi, tidak wajar sekiranya saya membawakan imej yang terlalu terdedah,” katanya.

 

Membawa nama isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah kerap menjadi mangsa netizen yang memandang serong kerana tidak bertudung. - Foto IG Siti Khadijah Halim
Membawa nama isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah kerap menjadi mangsa netizen yang memandang serong kerana tidak bertudung. – Foto IG Siti Khadijah Halim

 

Siti Khadijah mula melangkah dalam industri seni selepas menjuarai satu pertandingan pada 2016. Usai pertandingan, dia menandatangani kontrak bersama syarikat produksi milik Datuk A Aida selama dua tahun.

Siti Khadijah bersyukur, kerjaya seninya berjalan dengan baik biarpun agak perlahan selama enam tahun.

“Alhamdulillah, dalam perlahan tetap berkembang dengan baik. Saya pun tidak mahu tamak mengejar tawaran.

“Saya pula tiada pengurus. Dari awal lagi, saya menguruskan diri sendiri.

“Saya bersama syarikat pengurusan, A Aida Production disebabkan menang pertandingan. Sekarang, saya lebih selesa menguruskan diri sendiri agar dapat belajar selok-belok mengenai industri seni,” katanya.

Siti Khadijah ditemui ketika majlis pelancaran super telefilem Rompak, baru-baru ini.

Menerusi super tele Rompak, Siti Khadijah bergandingan dengan nama besar seperti MK K-Clique, Tony Eusoff, Zizan Razak, Daiyan Trisha dan Chubb-E.

Siti Khadijah yang juga selebriti media sosial berkelulusan Diploma Komunikasi Media Baharu & Keusahawan Kandungan, UiTM Lendu, Melaka.

Pernah membintangi drama Dia Yang Ku Cinta, Rumah Siti Khadijah, Bidadari Salju, Nasib Jodoh PKP dan banyak lagi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat