Noh sedia dipecat Umno, jika bersuara demi parti dianggap sabotaj

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar menyatakan kesediaan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Umno malah rela dipecat.

“Saya sedia dipanggil dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Umno dan rela kena pecat kalau prinsip saya bersuara demi parti dianggap sebagai sabotaj,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu.

Dalam pada itu Noh juga mengesahkan beliau bersama empat pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang termasuk anaknya sendiri telah diberi notis panggilan untuk menghadap Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin Umno pada 30 Januari ini.

Kata Noh, turut dipanggil, Setiausaha Umno Bahagian Tanjung Karang, Jasman Anuar; Ketua Puteri Umno bahagian, Salbiah Saari; adik beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian, Yusop Omar dan anak perempuannya yang juga AJK Puteri UMNO bahagian, Nurul Syazwani telah menerima notis sama yang dihantar Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun menerusi kiriman aplikasi WhatsApps, minggu lalu.

Ujarnya, kandungan notis panggilan itu memaklumkan beliau bersama empat pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang telah dikaitkan dengan beberapa pertuduhan pengkhianatan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

“Saya akan hadir bagi menjelaskan setiap pertuduhan dikemukakan kerana saya masih ahli MKT Umno.

“Saya bersedia untuk terima apa jua keputusan dibuat parti. Kalau hendak pecat, pecatlah. Saya tidak kisah. Tetapi kalau Umno masih hendak cari salah individu tertentu punca parti kalah PRU15, terpulanglah,” katanya lapor Sinar Premium.

Noh berkata demikian bagi mengulas spekulasi namanya tersenarai dipanggil Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin Umno pada 30 Januari ini.

Selain Noh, jawatankuasa itu menerusi satu mesyuarat pada Rabu dikatakan turut membincangkan status keahlian bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam parti itu.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan perkara itu dalam reaksi ringkas ketika ditanya pemberita dalam satu program Kementerian Pertahanan di Sungai Besi pada Rabu.

Susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, terdapat dakwaan mengatakan satu langkah ‘pembersihan’ parti sedang dilaksanakan pucuk kepimpinan parti itu terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan PAU tempoh hari.

Sementara itu, Noh turut mempersoalkan tindakan parti menuduh beliau melakukan pengkhianatan terhadap Parlimen Tanjung Karang pada PRU15 lalu sedangkan Umno kalah teruk dan gagal menang majoriti kerusi Parlimen di tujuh negeri ditandingi termasuk Selangor.

“Adakah pengkhianatan parti hanya berlaku di kerusi Parlimen Tanjung Karang semata-mata pada PRU lalu?

“Kalau Tanjung Karang sahaja yang kalah di Selangor, bolehlah nak tuduh ada pengkhianatan parti. Tetapi kalau dah kalah banyak sangat sampai Melaka pun ti- dak boleh menang satu kerusi walaupun PRN (Pilihan Raya Negeri) menang majoriti dua pertiga (dua tahun lalu), tidak logik- lah hendak salahkan orang lain.

“Kerusi Parlimen Bagan Datuk yang Presiden Umno sendiri bertanding pun hanya menang tipis 340 undi, adakah sebab berlaku sabotaj dalaman? Kalau Umno mahu ke hadapan, jangan cari jalan mudah salahkan orang lain. Sebaliknya buka lembaran baharu dengan muhasabah diri dan lupakan kekalahan lalu,” luahnya.

Tambah bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, kekalahan besar Umno pada PRU15 yang disebabkan penolakan rakyat, mungkin juga ada kaitan dengan faktor calon di mana pengundi di sesuatu kawasan itu tidak menyokong calon ditampilkan walaupun Parlimen itu kubu kuat parti.

“Tidak boleh kata bila kalah, maknanya berlaku sabotaj dalaman. Rakyat mungkin tolak parti kerana faktor calon. Ambil contoh di Parlimen Tanjung Karang, kawasan ini kubu kuat Umno, tetapi mungkin kerana faktor calon dipilih, kita tidak menang,” ujarnya.

Sementara itu, Noh mengakui beliau salah seorang daripada empat ahli MKT yang tidak bangun menyokong usul dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertanding- kan pada PAU 2022, dua minggu lalu.

Menegaskan keputusan itu dibuat bukan atas desakan sesiapa, beliau menjelas- kan tindakan sedemikian dibuat atas dasar mempertahankan prinsip mendahulukan kepentingan parti, agama dan bangsa serta tidak takut bersuara demi kebenaran.

Ujar Noh, mana-mana pihak tidak sewajarnya menuduh beliau sebagai pengkhianat parti hanya disebabkan keengganannya menyokong usul tambahan diluluskan perwakilan PAU 2022 itu.

Tambahnya, hal ini memandangkan beliau sentiasa patuh kepada keputusan PAU terdahulu dan MKT sebelum PRU15, termasuklah keputusan penarikan sokongan ahli Parlimen Umno daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2021.

“Prinsip saya, saya sentiasa mengikut arahan parti yang berpegang kepada Perlembagaan Umno dan keputusan badan tertinggi parti kerana saya tiada kepentingan peribadi.

“Secara jelas, apabila parti membuat ketetapan ‘No Anwar, No DAP’, saya berpegang keputusan itu. Kemudian apabila ada arahan untuk menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sebelum PRU15) pun saya ikut.

“Begitu juga apabila parti membuat keputusan menarik sokongan daripada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, saya salah seorang daripada 15 ahli Parlimen yang menandatangani SD tarik sokongan itu.

“Itu bukti saya seorang party man. Takkan bila saya tidak sokong usul PAU 2022 dan menolak cadangan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan, saya terus dicop sebagai pengkhianat?” soalnya.

Pada masa yang sama, Noh turut menjelaskan beberapa lagi faktor penting menyebabkan beliau bersama tiga ahli MKT Umno yang tidak didedahkan identitinya, tidak berdiri bersama lebih 2,800 perwakilan PAU lain bagi menyokong usul tambahan itu.

“Dari segi peraturan, saya secara peribadi melihat usul dibawa tidak mengikut peraturan. Kalau kita buat sesuatu biar ikut peraturan supaya orang luar melihat kita tak buat sesuka hati.

“Semasa mesyuarat MKT, hanya tujuh usul sahaja dibincangkan, tidak termasuk usul pertandingan jawatan tertinggi parti,” katanya.
Menurut Noh lagi, usul tersebut dilihat bercelaru kerana sesuatu usul tambahan perlu dibincangkan melalui mesyuarat MKT sebelum dibawa ke PAU untuk diluluskan.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat