Jelajah 3 negeri di Turki

- Advertisement -

KUNJUNGAN kali pertama penulis ke Turki diraikan ibarat tetamu kelas atasan apabila disambut dengan pancuran air dari trak bomba selain kehadiran delegasi media tempatan.

Kemeriahan sambutan dilalui penulis bersama seorang teman pada November 2019 adalah kerana pesawat pertama Singapore Airlines mendarat di lapangan terbang baharu, Istanbul Havalimani atau Lapangan Terbang Istanbul.

Bagi percutian kali ini, kami merancang menjelajah tiga negeri yang mempunyai tarikan tersendiri iaitu Bursa, Capadoccia dan Istanbul selama 11 hari.

Penulis terpesona dengan pemandangan bangunan termasuk lapangan terbang itu sendiri yang mencerminkan betapa majunya negara Islam itu, tetapi masih mengekalkan identiti dan ketamadunan budayanya sendiri.

Bagi yang pertama kali mahu mengunjungi negara EuroAsia ini, penting untuk anda membuat persiapan termasuk menjalankan kajian lokasi percutian bagi memastikan itenari tersusun rapi selain berpeluang melawat lebih banyak destinasi menarik.

 

MENGUNJUNGI kilang seramik antara itenari bagi Red Trip.
MENGUNJUNGI kilang seramik antara itenari bagi Red Trip.

 

Turki juga adalah negara empat musim dan apabila bercuti ketika musim sejuk, keperluan utama ialah pakaian yang tebal selain pek pemanas (heat pack atau heat tech) kerana suhu boleh jatuh mendadak selain cuaca terlalu sejuk.

Persiapan yang tidak kurang penting ialah perlu tinjau kadar tukaran mata wang dan bajet bagi setiap keperluan seperti pengangkutan tempat tinggal dan makanan bagi membolehkan percutian anda berjalan lancar.

Di Turki, sebarang urus niaga menggunakan mata wang Lira Turki. Dari Malaysia perlu lakukan tukaran mata wang dolar Amerika sebelum dapat ditukarkan kepada mata wang kepada Lira .

Mata wang Turki lebih rendah berbanding dengan Malaysia iaitu RM1 bersamaan dengan 1.84 lira. Jadi, boleh dikatakan kos berbelanja di Turki juga lebih murah dan berbaloi.

Dalam lawatan kami ketiga-tiga negeri di negara terbabit, destinasi di Capadoccia antara paling mengujakan kerana ada pakej lawatan sehari dikenali Red Trip yang membawa pengunjung ke lokasi tersohor sepeti Open Air Museum, Love Valley, Imagery Valley dan Melawat Kilang Seramik Kapadokya. Akses pakej adalah menerusi tiket yang boleh dibeli di laman web Klook dengan hanya RM60.

Bagi anda yang tidak pernah sampai, lokasi ini sering menghiasi poster yang acara tahunan belon panas kerap dianjurkan di lokasi berkenaan.

 

PENULIS (kanan) bersama rakan menikmati suasana bersalji.
PENULIS (kanan) bersama rakan menikmati suasana bersalji.

 

Lembah berbukit dengan batu kapur mempunyai bentuk tertentu dan sebahagian lokasi ini pernah menjadi penempatan penduduk minoriti Zelve beragama Islam dan Kristian yang tinggal dengan harmoni di lembah berbukit itu sehingga 1924.

Di Bursa pula kami sempat melawat Gunung Uludag, Tophane, Makam Osman Gazi dan Orhan Gazi serta masjid dan Pasar Ulu Camii.

Lawatan di Istanbul pula kami tidak melepaskan peluang mengunjungi Hagia Sophia selain melawat masjid yang lain tidak kurang cantiknya seperti Masjid Suleymaiye.

Kedudukan negeri berkenaan ini juga jauh iaitu antara Istanbul dan Capadoccia memakan masa lapan jam bagi perjalanan menggunakan bas.

Bagi pengunjung yang memperuntukkan percutian untuk satu tempoh lama anda boleh memilih menggunakan pengangkutan itu. Bagi kami yang terikat dengan itenari perjalanan padat memilih untuk ‘terbang.’

 

HAGIA Sophia lokasi wajib bagi mereka yang sampai
HAGIA Sophia lokasi wajib bagi mereka yang sampai

 

Satu lagi yang kami kagum sepanjang menjelajah Turki ialah sistem pengangkutan awam mereka yang sangat efisien dan murah. Kami sendiri banyak menggunakan pengangkutan awam termasuk kereta api.

Kami menggunakan kad khas iaitu Istanbul Kart dan boleh ditambah nilai selain membenarkan penggunaannya secara beramai-ramai. Jadi, itu banyak menjimatkan perbelanjaan kami sepanjang berada di sana.

Satu lagi yang tidak boleh lupa ialah pengalaman menaiki feri TURYOL digunakan sebagai pengangkutan antara wilayah Asia dan Eropah Turki pada kadar tambang 4 lira sahaja.

Pengalaman menaiki feri selama sejam menyusuri Selat Bosphorus pada pengamatan penulis adalah detik manis apabila dapat menikmati pemandangannya yang sangat indah.

Cabaran kami semestinya komunikasi kerana rakyat tempatan tidak fasih berbahasa Inggeris. Bagaimanapun, mereka ini amat berbudi bahasa dan banyak membantu kami menggunakan bahasa isyarat.

Kami juga mengambil inisiatif memperlajari bahasa Turki yang mudah untuk melancarkan perbualan yang ringkas dengan penduduk tempatan. Pemandu bas ketika kami berada di Bursa pula seorang rakyat Syria dan penduduk di situ juga sangat pemurah.

 

RASAI pengalaman menyusuri Selat Bosphorus dengan menaiki feri TURYOL.
RASAI pengalaman menyusuri Selat Bosphorus dengan menaiki feri TURYOL.

 

Pengalaman dengan peniaga di Spice Bazaar di Istanbul juga tidak kurang uniknya kerana mereka boleh berbahasa Melayu atas faktor kebanjiran pelancong dari Malaysia dan Indonesia yang kerap berkunjung di pasar berkenaan.

Sajian utama di Turki ialah berasaskan roti dan kebab. Bagi saya yang sememangnya penggemar makanan Timur Tengah tidak mengalami sebarang masalah.

Baklava Turki adalah baklava paling sedap pernah saya cuba sepanjang berada di sana. Makanan di Turki juga murah dan tidak terlalu mahal. Terdapat beberapa makanan yang perlu dicuba sekiranya anda ke Turki iaitu doner, kumpir, sutlac, adana kebab dan boregi.

Jika di Bursa, anda wajib cuba Iskender Kebab. Ini antara makanan tradisi dan asli Iskender Kebab sebelum dijual secara meluas di Turki.

Tidak hanya meninjau keseronokan dan keindahan semata-mata, malah perjalanan kami di Turki juga mengajar erti bersyukur kerana ramai gelandangan yang juga pelarian Syria berpeleseran di jalanan kota besar Turki.

Meskipun mereka tidak mengganggu, tetapi masih perlu berhati-hati. Saya dan rakan sempat membeli minuman kotak dan roti untuk mereka mengalas perut dan reaksi diterima teruja mereka dengan pemberian kami.

Dalam keseronokan, ada juga detik mencemaskan iaitu ketika menyaksikan babak pergelutan antara polis dan orang awam yang berpistol dengan jarak beberapa meter dari saya di Jeti Eminonu di Istanbul.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat