Denda RM100,000 Jika Peniaga Naikkan Harga Barangan Elektronik – KPDNHEP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur memberi amaran kepada peniaga kelengkapan elektronik dan komunikasi supaya tidak menaikkan harga sesuka hati berikutan berlaku peningkatan permintaan ketika ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Zubir Hamsa berkata mereka yang dikesan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Baru-baru ini KPDNHEP menerima maklumat berhubung aduan kenaikan harga barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi berikutan peningkatan permintaan terhadap barangan itu di pasaran, termasuklah komputer meja, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit.

“Individu boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000 mengikut AKHAP 2011 jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPDNHEP juga melaksanakan pemeriksaan pematuhan harga kelengkapan elektronik dan komunikasi menerusi Op Catut 8.0 di sekitar ibu negara sejak Isnin lepas.

“Pemeriksaan ini bertujuan memantau dan memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Setakat ini, KPDNHEP telah mengeluarkan lapan notis mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 bagi meminta peniaga membekalkan maklumat perincian harga jualan dan harga kos barangan dalam masa dua hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Zubir berkata pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya membuat pemilihan yang bijak dan bandingkan harga sebelum membuat pembelian,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat