KANGAR, — Mufti Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan bahawa isu peletakan jawatan Menteri Besar Perlis serta pergolakan sokongan politik yang berlaku kebelakangan ini tidak wajar dianggap sebagai satu krisis pentadbiran besar yang menggugat kestabilan negeri.
Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza, persepsi luar yang melihat keadaan politik Perlis seolah-olah berada dalam keadaan genting tidak mencerminkan realiti sebenar di lapangan, khususnya daripada sudut pandang rakyat negeri itu sendiri.
Dalam tulisan panjangnya bertajuk Krisis Politik Perlis: Antara Istana dan Orang Politik, Dr Mohd Asri menjelaskan bahawa sepanjang tempoh pergolakan berlaku, beliau berada di luar negara menghadiri persidangan di Abu Dhabi sebelum meneruskan perjalanan ke Guangzhou, China. Justeru, perkembangan krisis tersebut hanya diikuti beliau dari jauh.
“Sewaktu mendengar krisis itu berlaku, perasaan saya bagaikan mendengar pasukan bola sepak Perlis kalah 2-1 dalam satu perlawanan. Itu sahaja. Demikianlah juga, saya percaya, perasaan kebanyakan rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tidak semua situasi politik boleh dinilai menggunakan ukuran yang sama kerana setiap negeri memiliki latar, struktur sosial dan budaya politik yang berbeza. Justeru, memahami konteks tempatan adalah kunci utama dalam menilai sesuatu perkembangan politik.
Bagi menjelaskan prinsip tersebut, Dr Mohd Asri mengaitkan isu berkenaan dengan pendekatan memahami hadis melalui konteks, sebagaimana yang dihuraikannya dalam penulisan kitab Sabab Wurud al-Hadith. Beliau merujuk kepada hadis berkaitan kurma sebagai makanan asas penduduk Madinah, yang tidak boleh difahami secara literal tanpa mengambil kira latar masyarakat dan tempat.
“Apa yang ingin saya sampaikan ialah, bukan semua keadaan sama. Politik di Perlis mungkin tidak sama dengan negeri lain. Walaupun kelihatan serupa, realitinya agak berbeza,” jelas beliau.
Menurutnya, antara faktor terpenting yang membentuk kestabilan dan suasana politik di Perlis ialah peranan institusi Raja. Dr Mohd Asri menegaskan bahawa Istana Perlis bukan sebuah institusi yang dikaitkan dengan kemewahan atau eksploitasi kedudukan, sebaliknya dikenali dengan kesederhanaan, keprihatinan serta hubungan rapat dengan rakyat.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa pujian terhadap institusi Raja dibuat atas dasar kepentingan peribadi atau sikap mengampu, sebaliknya berpunca daripada pemerhatian jujur terhadap peranan sebenar Istana dalam menjaga kebajikan negeri.
“Institusi Raja di Perlis amat kuat dari sudut sikap rendah diri, simpati dan keprihatinan terhadap rakyat. Ia bukan sekadar lakonan atau retorik, tetapi benar-benar dizahirkan melalui tindakan,” katanya.
Dr Mohd Asri turut menekankan peranan aktif Raja Muda Perlis yang disifatkannya sebagai faktor utama dalam pencorakan pentadbiran dan kebajikan negeri pada hari ini. Menurut beliau, Raja Muda Perlis terlibat secara langsung dalam pelbagai urusan rakyat, sering turun ke lapangan serta memahami selok-belok negeri sehingga ke peringkat paling kecil.
Melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), jelas beliau, usaha kebajikan dilaksanakan secara berterusan dan sistematik, termasuk program turun padang bagi mengenal pasti golongan memerlukan, sehingga menjadikan MAIPs sebagai rujukan utama rakyat sebelum wakil rakyat.
Beliau juga menegaskan bahawa penglibatan Raja Muda Perlis bersama ketua-ketua jabatan bukan didorong oleh kuasa, sebaliknya terhasil daripada hubungan kerja yang erat, kepercayaan bersama dan komitmen kolektif untuk memajukan negeri.
Menyentuh peranan Raja Perlis, Dr Mohd Asri berkata walaupun keadaan kesihatan baginda tidak mengizinkan pergerakan seaktif dahulu, keprihatinan baginda terhadap isu rakyat tetap sangat mendalam dan menyeluruh. Malah, setiap permasalahan negeri sentiasa berada dalam pengetahuan baginda.
Beliau turut berkongsi titah Raja Perlis yang amat memberi kesan kepadanya, khususnya amanah agar Mufti menyampaikan kebenaran tanpa mengira sama ada pandangan itu disenangi atau sebaliknya.
“Tugasan Dato ialah habaq yang betui kepada saya. Jangan kira saya suka atau marah. Cakap yang benar,” titah baginda, menurut Dr Mohd Asri.
Bagi beliau, dokongan Istana Perlis merupakan faktor utama yang menjadikan negeri itu sebagai destinasi ilmu dan rujukan pelbagai pihak, termasuk dari luar Perlis. Justeru, sokongan dan doa rakyat terhadap institusi Raja dilihat sebagai manifestasi hubungan tulen antara pemerintah dan rakyat.
Sehubungan itu, Dr Mohd Asri menegaskan bahawa pergolakan politik atau pertukaran kerajaan tidak terlalu menggusarkan rakyat Perlis selagi institusi Istana terus berfungsi dengan baik, beramanah dan bertanggungjawab.
“Pun begitu, kita tetap mengimpikan sebuah kerajaan yang berkualiti, berwibawa dan benar-benar mampu membangunkan Perlis. Jika Istana yang bertanggungjawab ini digandingkan dengan kerajaan yang berwawasan, pastinya Perlis akan melangkah lebih ke hadapan,” katanya.
Beliau mengakhiri tulisannya dengan harapan agar kestabilan negeri terus terpelihara dan segala perkembangan politik dapat ditangani secara matang demi kepentingan rakyat Perlis secara keseluruhan.



