KUALA LUMPUR — Pendakwah bebas, Firdaus Wong, menggesa Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Prof Madya Dr. Lukman bin Abdul Mutalib, tampil memberikan penjelasan berhubung pembabitannya, dengan syarikat pemasaran berbilang tingkat Atomy, yang penglibatan dan promosinya telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan melalui Pandangan Hukum Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada tahun 2022 kerana dikaitkan dengan gerakan anti-Islam dan latar belakang rangkaian kultus Kristian dari Korea Selatan.
Menurut Firdaus Wong, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak itu bukan sahaja didakwa berperanan sebagai penasihat syariah Atomy, malah turut tampil sebagai saksi mempertahankan syarikat berkenaan dalam prosiding mahkamah melibatkan saman Atomy Malaysia Sdn Bhd terhadap dirinya sebelum ini.
Dalam kenyataan terbaharu di media sosial, Firdaus Wong menjelaskan bahawa gesaan tersebut berpunca daripada keterangan yang menurutnya didengar sendiri semasa prosiding di Mahkamah Tinggi, khususnya melibatkan pendirian Dr Lukman terhadap pandangan hukum yang telah diputuskan di peringkat kebangsaan.
Menurut Firdaus Wong, Prof Madya Dr. Lukman bin Abdul Mutalib merupakan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, selain memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
Beliau mendakwa bahawa antara keterangan penting yang diberikan di mahkamah ialah pengakuan Dr Lukman bahawa beliau tidak bersetuju dengan Pandangan Hukum Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertarikh 26 Ogos 2022, yang mengharamkan penglibatan umat Islam dalam aktiviti urus niaga dan promosi Atomy atau mana-mana perniagaan seumpamanya yang menyumbang kepada gerakan anti-Islam.
Firdaus Wong berkata, pendirian tidak bersetuju itu dinyatakan walaupun pandangan hukum berkenaan diputuskan di peringkat kebangsaan dan dipengerusikan oleh Mufti Perak ketika itu, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung keselarasan pendirian dalam institusi fatwa.
Sehubungan itu, Firdaus Wong mencabar Dr Lukman supaya tampil membuat pengakuan atau penafian secara terbuka terhadap perkara yang dinisbahkan kepadanya, termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya merasakan dirinya difitnah.
“Saya bersedia disaman sekiranya apa yang saya tulis mengenai keterangan di mahkamah itu tidak tepat,” katanya.
Firdaus Wong turut mempersoalkan ketiadaan sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Universiti Sains Islam Malaysia berhubung isu tersebut, sedangkan ia melibatkan integriti seorang pensyarah dalam bidang syariah dan undang-undang yang turut memegang peranan dalam institusi fatwa negeri.
Isu ini berkait rapat dengan kritikan berpanjangan Firdaus Wong terhadap Atomy, yang sebelum ini didakwa mempunyai latar belakang dan rangkaian global berkait dengan Unification Church, sebuah gerakan kultus Kristian dari Korea Selatan.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Dr Lukman, Universiti Sains Islam Malaysia atau Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung dakwaan dan gesaan yang dikemukakan oleh Firdaus Wong.
Sebelum ini seorang pendakwah, Cikgu Mahadi Mohd memohon maaf atas kekhilafan menghadiri program keamanan anjuran badan bukan kerajaan yang terkait dengan kultus tersebut.



